BERITA TERKINI   UEM Sunrise dan AME Elite Consortium bentuk usaha sama untuk bangun taman perindustrian bernilai RM4.0 bilion di Gerbang Nusajaya. | Liga Super: DPMM FC 3-1 Negeri Sembilan FC | Penjawat awam negeri Pulau Pinang akan terima BKK sebulan gaji, dibayar pada Disember ini - Ketua Menteri | Pulau Pinang bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM1.074 billion - Chow | Inisiatif Dana Inovasi Media diteruskan melalui pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0, pastikan industri media terus diperkasa - Fahmi | 

Perolehan Pengangkutan Barang KTMB Naik 10 Peratus Kepada RM96 Juta Dalam Sembilan Bulan 2026

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) terus memperkukuh perniagaan pengangkutan barangnya dengan mencatatkan perolehan sebanyak RM96 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, meningkat 10 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pengendali perkhidmatan kereta api itu menyatakan prestasi memberangsangkan berkenaan mencerminkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan barang melalui rel.

Jelasnya, KTMB mengangkut 1.3 juta tan kargo, meningkat 16 peratus manakala pergerakan kontena naik enam peratus kepada 173,844 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

Ad Banner
Ad Banner

“Pencapaian ini mencerminkan kepentingan berterusan pengangkutan rel dalam menyokong sektor perindustrian dan logistik Malaysia selain menekankan keperluan untuk memperkukuh keupayaan operasi bagi menampung pertumbuhan pada masa hadapan.

“Sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya, KTMB sedang melaksanakan strategi stok gerabak (RSS) iaitu inisiatif strategik untuk melengkapi kumpulan aset sedia ada KTMB yang semakin berusia, memaksimumkan ketersediaan aset dan mengekalkan kebolehpercayaan operasi kargo.

“Sehubungan itu, KTMB juga meningkatkan kapasiti kargo secara berperingkat bagi menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan serta agenda peralihan pengangkutan jalan raya kepada rel negara,” menurut kenyataan itu hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Memandangkan sebahagian besar stok gerabak KTMB telah berkhidmat dalam industri kereta api selama bertahun-tahun, KTMB memaklumkan RSS menyediakan rangka kerja penting untuk memperkukuh keupayaan kumpulannya secara berperingkat menerusi usaha pemulihan, penggantian dan penambahbaikan aset kritikal yang disasarkan.

Menurutnya, inisiatif itu dirangka untuk mengoptimumkan penggunaan stok gerabak sedia ada selain melengkapkannya dengan keupayaan kumpulan aset yang dipertingkatkan bagi membolehkan operasi pengangkutan barang mengekalkan kapasiti optimum serta menyediakan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan.

“Kumpulan aset paling berkesan yang meningkatkan konsistensi perkhidmatan serta membolehkan KTMB bertindak balas dengan lebih cekap terhadap keperluan pengeluar, pengeksport, pengendali pelabuhan dan penyedia perkhidmatan logistik yang sentiasa berubah,” katanya.

Lebih penting, jelasnya inisiatif ini memperkukuh komitmen KTMB untuk menyokong pembangunan ekonomi Malaysia dengan memperkasa pengangkutan barang melalui rel sebagai komponen rangkaian logistik negara yang boleh dipercayai, berdaya saing dan mampan.

“Menerusi RSS, KTMB berhasrat untuk memperkukuh kesiapsiagaan operasi yang diperlukan bagi menyokong perkhidmatan ini dan memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap pengangkutan kargo rel di peringkat serantau,” tambahnya.

-- BERNAMA