BERITA TERKINI   UEM Sunrise dan AME Elite Consortium bentuk usaha sama untuk bangun taman perindustrian bernilai RM4.0 bilion di Gerbang Nusajaya. | Liga Super: DPMM FC 3-1 Negeri Sembilan FC | Penjawat awam negeri Pulau Pinang akan terima BKK sebulan gaji, dibayar pada Disember ini - Ketua Menteri | Pulau Pinang bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM1.074 billion - Chow | 

MAA Group Catat Kerugian RM106.9 Juta, Juruaudit Bangkitkan Ketidakpastian Kelangsungan Operasi

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Juruaudit luar MAA Group Bhd, KPMG PLT, memberikan pendapat audit tanpa pengubahsuaian terhadap penyata kewangan kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, namun membangkitkan ketidakpastian material berhubung keupayaannya untuk meneruskan operasi sebagai entiti berterusan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu melaporkan kerugian berjumlah RM106.9 juta bagi tahun kewangan 2026.

"Liabiliti semasa kumpulan berjumlah RM102.5 juta melebihi aset semasanya sebanyak RM99.4 juta, dengan perbezaan RM3.1 juta.

Ad Banner
Ad Banner

"Keadaan ini menunjukkan wujudnya ketidakpastian material yang boleh menimbulkan keraguan ketara terhadap keupayaan kumpulan untuk meneruskan operasi sebagai entiti berterusan serta memenuhi obligasi kewangannya dalam tempoh 12 bulan akan datang dari tarikh kelulusan penyata kewangan ini," menurut kumpulan itu.

MAA memaklumkan kedudukan kewangan kumpulan itu bersifat sementara dan pihaknya berupaya memenuhi obligasi kewangan menerusi beberapa langkah mitigasi.

Langkah itu termasuk cadangan pelupusan kepentingan ekuiti dalam beberapa entiti yang tidak disatukan, hartanah terpilih serta operasi hotel, yang dijangka menjana hasil sebanyak RM139.1 juta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, kumpulan berkenaan sedang berusaha mendapatkan semula pinjaman terjejas kredit daripada operasi perkhidmatan kewangannya, dengan penyelesaian kasar dijangka berjumlah RM38 juta.

MAA memaklumkan pihaknya turut memperoleh pembiayaan menerusi penerbitan nota pelaburan oleh anak syarikatnya dan sedang mengusahakan penerbitan selanjutnya bagi mendapatkan dana tambahan.

Kumpulan itu juga memperoleh sokongan kewangan berterusan daripada pemegang saham utama.

"Sehubungan itu, para pengarah berpendapat bahawa penyediaan penyata kewangan kumpulan dan syarikat bagi FY2026 berasaskan prinsip entiti berterusan adalah wajar," menurut MAA.

-- BERNAMA