Belanjawan 2027: Firma Semikonduktor Tempatan Perlu Perkukuh Rantaian Nilai -- Tengku Zafrul
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Syarikat semikonduktor tempatan perlu menterjemahkan peruntukan Belanjawan 2027 dengan lebih banyak terlibat dalam aktiviti bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) ketika Malaysia berusaha mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia telah membangunkan ekosistem semikonduktor yang matang sejak lebih lima dekad lepas, namun negara perlu melangkah melangkaui kekuatan tradisinya dalam bidang pemasangan dan pengujian bagi meraih nilai yang lebih besar daripada industri tersebut.
"Kita mempunyai syarikat Malaysia yang sudahpun menjadi peneraju global dan berintegrasi dalam rantaian nilai global, namun kita perlu melihat lebih banyak lagi.
“Ekosistemnya sudah agak matang, tetapi kita perlu memperkukuh kedudukan kita dalam rantaian nilai tersebut," katanya dalam temu bual mengenai Belanjawan 2027 yang disiarkan menerusi program The Nation Bernama TV, hari ini.
Menerusi Belanjawan 2027, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur sebanyak RM1.2 bilion untuk menyokong syarikat semikonduktor tempatan bergerak ke segmen industri bernilai lebih tinggi.
Belanjawan itu juga menyediakan Dana Pelaburan Strategik bernilai RM100 juta yang akan diwujudkan oleh Khazanah Nasional Bhd dan InvestPenang bagi menyokong syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju pada peringkat awal.
Tengku Zafrul berkata langkah-langkah tersebut akan membantu syarikat Malaysia memperkukuh keupayaan mereka dan melangkah lebih jauh ke dalam rantaian nilai.
Beliau berkata pelaburan seharusnya menjana limpahan ekonomi yang lebih meluas dengan memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan mewujudkan peluang bagi perniagaan domestik.
"Jika kita bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai ini, kita perlu memastikan Malaysia benar-benar meneliti peluang (seperti) bagaimana kita boleh lebih banyak melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi," katanya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan bukan sahaja perlu menumpukan perhatian untuk menarik pelaburan, malah memastikan projek yang diluluskan dapat direalisasikan dalam tempoh masa yang sewajarnya.
Tengku Zafrul berkata proses mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan masih menjadi pertimbangan penting bagi pelabur, dengan kepantasan pelaksanaan berbeza-beza mengikut sektor.
"Projek pelaburan, khususnya dalam sektor pembuatan, boleh mengambil masa kira-kira dua tahun daripada peringkat pecah tanah hinggalah kepada siapnya kilang, bergantung pada industri," katanya.
Mengenai isu gaji, beliau berpendapat syarikat harus menterjemahkan peningkatan produktiviti kepada gaji yang lebih tinggi bagi pekerja untuk memastikan pertumbuhan ekonomi membawa taraf hidup yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.
"Saya sememangnya menyokong usaha memastikan gaji meningkat selaras dengan produktiviti," katanya, sambil menambah syarikat yang mencatatkan keuntungan lebih tinggi hasil daripada peningkatan kecekapan dan produktiviti perlu berkongsi keuntungan tersebut dengan pekerja mereka.
-- BERNAMA