Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Permintaan Eksport Kukuh, Harga Tenaga Tinggi
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan peningkatan untuk ditutup tinggi bagi hari ketiga berturut-turut pada Rabu, disokong permintaan eksport yang lebih kukuh pada Oktober.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga tenaga yang lebih tinggi turut menyokong sentimen pasaran minyak sawit walaupun paras inventori domestik yang mencatat paras tertinggi terus mengehadkan kenaikan harga.
“MSM digunakan secara meluas sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biodiesel. Oleh itu, apabila harga tenaga meningkat, permintaan terhadap biodiesel mungkin bertambah, sekali gus menyokong permintaan terhadap MSM,” katanya kepada Bernama.
Menurut juruukur kargo Amspec Agri Malaysia, eksport minyak sawit Malaysia meningkat 37.73 peratus atau 134,760 tan kepada 491,954 tan bagi tempoh 1 hingga 10 Oktober berbanding 357,194 tan dalam tempoh sama pada September.
Syarikat pemeriksaan bebas Intertek Testing Services pula memaklumkan eksport menokok 33.51 peratus atau 131,776 tan kepada 525,071 tan bagi tempoh 1 hingga 10 Oktober berbanding 393,295 tan bagi tempoh 1 hingga 10 September.
Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat 691,835 tan atau 24.54 peratus kepada 3.51 juta tan pada September tahun ini berbanding 2.82 juta tan pada bulan sebelumnya.
Pada akhir dagangan, kontrak Oktober 2026 meningkat RM29 kepada RM4,427 satu tan, November 2026 menokok RM1 kepada RM4,560 satu tan dan Disember 2026 naik RM18 kepada RM4,700 satu tan.
Sementara itu, Januari 2027 menambah RM23 kepada RM4,810 satu tan, Februari 2027 meningkat RM25 kepada RM4,900 satu tan dan Mac 2027 naik RM18 kepada RM4,978 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 124,058 lot daripada 109,117 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka naik kepada 335,045 kontrak daripada 331,818 kontrak sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi Oktober Selatan meningkat RM30 kepada RM4,500 satu tan.
-- BERNAMA