Malaysia Manfaatkan Portal Penipuan Kebangsaan Percepat Pengesanan Dana
Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 14 Okt (Bernama) -- Malaysia memanfaatkan Portal Penipuan Kebangsaan untuk mempercepat pengesanan dan pemulihan dana dalam usaha membanteras penipuan kewangan digital melalui kerjasama bersepadu antara institusi kewangan.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dr. Norhana Endut berkata kira-kira 95 peratus kes penipuan di Malaysia melibatkan transaksi yang diluluskan sendiri oleh mangsa selepas diperdaya untuk membuat pembayaran.
“Kemajuan teknologi menjadikan penipuan semakin canggih, meyakinkan dan diperibadikan, manakala perkembangan pesat pembayaran segera memendekkan tempoh untuk pihak berkuasa dan pengawal selia campur tangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman Malaysia dalam sesi panel bertajuk “Pelaksanaan Rangka Tindakan Bangkok: Daripada Kerangka Dasar kepada Usaha Menangani Penipuan Digital” di Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) di sini.
Norhana berkata Malaysia mengambil pendekatan menyeluruh yang merangkumi pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dana dan kesedaran pengguna, selain memperkukuh pengesanan penipuan, perkongsian maklumat serta kerjasama merentas sektor.
Beliau berkata Portal Penipuan Kebangsaan menyediakan platform automatik bersepadu untuk pelaporan kes, pengesanan aliran dana dan pemulihan wang, sekali gus membolehkan institusi kewangan menjejaki pergerakan dana merentasi pelbagai rangkaian pembayaran.
“Sistem itu mengurangkan tempoh pengesanan aliran dana sebanyak 75 peratus dan membolehkan akaun baharu dikesan dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha membanteras penipuan memerlukan kerjasama erat antara bank, syarikat telekomunikasi dan platform digital bagi membolehkan perkongsian maklumat risikan serta tindakan pantas terhadap ancaman yang muncul.
Menurutnya, penyediaan infrastruktur bersama yang boleh diperluas dan protokol operasi yang jelas juga penting untuk memperkemas penyelarasan, di samping mengurangkan pertindihan usaha serta kos pembangunan.
Norhana menyertai perbincangan itu bersempena Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia 2026 di Bangkok, yang antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama bagi membangunkan sistem kewangan digital yang selamat, dipercayai dan inklusif.
Delegasi Malaysia ke mesyuarat tahunan itu diketuai Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
-- BERNAMA