BERITA TERKINI   Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat, Sepang, Kuantan dan Rompin turut ditutup esok - Fadhlina | Sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya ditutup esok - Fadhlina | Jerebu: Keputusan tutup sekolah bergantung SOP, nasihat MetMalaysia dan Kementerian Kesihatan- Fadhlina | Isu jerebu rentas sempadan dibawa ke perbincangan peringkat menteri sebelum Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan - Mohamad Hasan | Rakyat Malaysia dinasihatkan tangguh perjalanan ke Arab Saudi susulan pengeboman di Riyadh - Mohamad Hasan | 

EU Sokong Langkah Malaysia Lonjak Kedudukan Rantaian Bekalan Menerusi Global Gateway

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf hasrat Malaysia untuk melonjakkan kedudukan dalam rantaian nilai semikonduktor menerusi inisiatif pelaburan Global Gateway selain cadangan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia (EU) (MEUFTA) yang dapat memperkukuh kerjasama ekonomi dua pihak terbabit.

Pesuruhjaya Eropah bagi Kerjasama Antarabangsa Jozef Síkela berkata ini berikutan peranan Malaysia sebagai antara hab semikonduktor terpenting dunia yang sedang giat meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai terbabit.

Ad Banner

Beliau turut menyifatkan usaha itu dapat membuka peluang membina kerjasama saling bermanfaat yang membolehkan Malaysia mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi dalam negara selain membantu Eropah memperkukuh dan mempelbagaikan rantaian bekalannya.

“Bagi rakyat Malaysia, ini bermakna lebih banyak nilai yang kekal di sini; lebih banyak kemahiran dapat dibangunkan, pembekal tempatan lebih berdaya saing dan mewujudkan peluang pekerjaan lebih berkualiti.

“Selain itu bagi Eropah pula, ini dapat mewujudkan rantaian bekalan yang lebih kukuh dan pelbagai,” katanya dalam temu bual secara bertulis kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Síkela juga menyifatkan kerjasama sedemikian sebagai matlamat EU menerusi inisiatif Global Gateway yang bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi melalui pelaburan dan kerjasama dengan negara-negara rakan lain.

Pada masa sama, aspek kepelbagaian menjadi makin penting dalam dunia yang kian berpecah-belah dan hubungan dengan lebih banyak rakan dipercayai dapat memberi lebih banyak pilihan kepada ekonomi negara serta menjadikannya lebih berdaya tahan, katanya.

 

MEUFTA Perkukuh Perdagangan, Pelaburan

Síkela menegaskan kepentingan rundingan MEUFTA dan perjanjian berkaitan dapat menghapuskan halangan perdagangan, memudah cara pelaburan dan memberi akses lebih baik kepada perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Eropah.

Pusingan kelima rundingan MEUFTA itu telah diadakan di Brussels, Belgium pada 21 hingga 25 September dan pusingan seterusnya dijadualkan berlangsung di Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

Sebanyak lima pusingan rundingan telah diadakan sejak Jun 2025 dengan Malaysia dan EU menyasarkan pemuktamadannya menjelang akhir 2027.

“Malaysia dan EU mempunyai kekuatan ekonomi yang saling melengkapi...Malaysia pada kedudukan baik dalam bidang teknologi dan industri yang penting kepada Eropah manakala EU menawarkan teknologi, pelaburan dan akses untuk pasaran yang mempunyai 450 juta pengguna,” katanya.

Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, perdagangan antara Malaysia dan EU meningkat sebanyak 21 peratus dengan eksport Malaysia ke Eropah melonjak lebih 28 peratus manakala eksport Eropah ke Malaysia meningkat hampir 12 peratus.

Selain itu, hampir 2,000 syarikat Eropah beroperasi di Malaysia yang menggaji lebih 160,000 pekerja secara langsung.

 

Kerjasama EU-ASEAN Tumpu Tenaga, Kesalinghubungan

Mengulas hubungan EU dengan ASEAN, Síkela berkata blok itu menumpukan sektor tenaga, kesalinghubungan digital, pengangkutan, rantaian nilai mampan, penyelidikan dan kemahiran.

“Malaysia mempunyai gabungan kelebihan yang amat kukuh iaitu kedudukan strategik dalam ASEAN, infrastruktur mantap, tenaga kerja mahir, asas pembuatan yang kukuh serta persekitaran yang memudahkan syarikat antarabangsa menjalankan operasi,” katanya.

Menyentuh Grid Kuasa ASEAN, Síkela menekankan kepentingan pelaburan dalam sistem elektrik yang saling tersambung, malah grid yang kukuh dan fleksibel adalah sama pentingnya dengan pengeluaran tenaga boleh dipercayai.

“Wilayah yang mempunyai sistem elektrik saling berhubung itu mempunyai lebih banyak pilihan. Fleksibiliti ini mengukuhkan lagi keselamatan tenaga.

“Jika sesebuah negara itu mengalami kekurangan bekalan, elektrik dapat diperoleh dari negara lain. Jika negara lain ada lebihan tenaga boleh baharu, tenaga itu boleh disalurkan merentasi sempadan untuk dimanfaatkan,” katanya.

Síkela turut berkongsi pengalamannya sebagai menteri bertanggungjawab terhadap tenaga di Republik Czech pada 2022 dan menyaksikan bagaimana Rusia bertindak menjadikan tenaga sebagai senjata terhadap Eropah.

Beliau menganggapnya sebagai bukti kelemahan akibat kebergantungan berlebihan terhadap hanya satu sumber atau pembekal tunggal.

Dalam pada itu, di bawah program serantau Asia-Pasifik EU, geran bernilai 60 juta euro telah diperuntukkan secara awal bagi kerjasama tenaga dengan ASEAN, selain sokongan dua hala dan pelaburan daripada pihak bank pembangunan Eropah.

Menerusi kerjasama dengan Pusat Tenaga ASEAN, EU turut menyokong pelaksanaan ASEAN School of Regulation atau Sekolah Pengawalseliaan ASEAN, Kajian Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN sertan Pelan Hala Tuju Perdagangan Kuasa Pelbagai Hala.

-- BERNAMA