Sconpo Perkukuh Kerjasama Antara Agensi Bendung Risiko Pembiayaan Keganasan
LABUAN, 12 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Kecil Pertubuhan Bukan Untung (SCONPO) memperkukuh kerjasama antara agensi bagi meningkatkan tadbir urus, memelihara kepercayaan awam serta melindungi sektor pertubuhan bukan untung (NPO) Malaysia daripada risiko pembiayaan keganasan.
Pengerusi SCONPO Syahrul Imran Mahadzir berkata kerjasama lebih erat antara pihak berkuasa kawal selia, perkongsian maklumat yang lebih berkesan serta pelaksanaan langkah perlindungan yang bersesuaian penting bagi memastikan NPO dapat meneruskan misi sosial dan kebajikan tanpa terdedah kepada jenayah kewangan atau penyalahgunaan dana.
“Kepercayaan awam ialah aset terbesar sektor NPO. Tadbir urus yang kukuh melindungi kepercayaan itu dan menjadikan sokongan masyarakat sebagai manfaat berpanjangan kepada komuniti,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Syahrul, yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), berkata SCONPO komited membangunkan ekosistem NPO yang berdaya tahan menerusi kerjasama lebih erat antara agensi serta peningkatan kesedaran mengenai ancaman pembiayaan keganasan yang semakin berkembang.
“Matlamat kami adalah untuk membangunkan sektor NPO yang berdaya tahan dan mampu berkembang dengan yakin. Kerjasama lebih erat, perkongsian maklumat yang lebih berkesan serta langkah perlindungan yang bersesuaian akan memelihara integritinya dan membolehkan NPO melaksanakan misi sosial masing-masing,” katanya.
Beliau berkata usaha itu turut berasaskan kemajuan Malaysia yang diiktiraf menerusi Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) 2025, yang mengiktiraf SCONPO sebagai platform utama bagi pengawal selia NPO membincangkan isu berkaitan sektor itu dan berkongsi maklumat.
SCONPO, yang dipengerusikan Labuan FSA, beroperasi di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Membanteras Pengubahan Wang Haram (NCC) dan menghimpunkan pihak berkuasa kawal selia yang menyelia pelbagai segmen sektor NPO di seluruh negara.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan itu, SCONPO menganjurkan Simposium Kebangsaan Pertubuhan Bukan Untung 2026 pada 30 Sept lepas, yang menghimpunkan lebih 200 peserta, termasuk wakil NPO, pengawal selia dan pihak berkepentingan utama.
Simposium itu dianjurkan bersama oleh Labuan FSA, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU). Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Bertemakan “Building a Resilient NPO Ecosystem: Understanding Terrorist Financing Threats and Governance of Regulatory Responsibilities” (Membina Ekosistem NPO Berdaya Tahan: Memahami Ancaman Pembiayaan Keganasan dan Tadbir Urus Tanggungjawab Kawal Selia), simposium itu menyediakan platform untuk dialog, perkongsian pengetahuan dan pertukaran pengalaman praktikal dalam usaha memperkukuh tadbir urus serta mengurus risiko pembiayaan keganasan.
Program itu turut menekankan kepentingan kesedaran, kesiapsiagaan dan langkah perlindungan praktikal bagi membantu NPO memenuhi keperluan kawal selia yang terus berkembang, di samping melindungi misi, sumber kewangan dan reputasi masing-masing.
Dalam ucaptamanya, Liew menekankan peranan penting NPO sebagai “sektor ketiga” negara, selain sektor awam dan swasta, khususnya dalam menyokong pembangunan negara dan memenuhi keperluan komuniti.
Beliau berkata NPO mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara, terutama dalam bidang kesihatan dan pendidikan, menerusi pelaksanaan inisiatif berasaskan komuniti serta penyediaan perkhidmatan sosial.
Sementara itu, Syahrul berkata SCONPO turut mengadakan beberapa sesi libat urus sepanjang tahun ini, termasuk mesyuarat kumpulan kerja dan bengkel khusus, dengan Bank Negara Malaysia menyertai sesi berkenaan sebagai pemerhati.
Beliau berkata sesi itu membantu memperkukuh penyelarasan antara pihak berkuasa kawal selia, khususnya dalam menyelaraskan pelaksanaan dasar, berkongsi maklumat berkaitan penguatkuasaan undang-undang serta menangani risiko baharu yang boleh menjejaskan sektor berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa ancaman pembiayaan keganasan memerlukan pendekatan bersepadu kerana tiada satu agensi mampu menangani risiko itu secara berkesan secara bersendirian.
Labuan FSA, selaku agensi yang mempengerusikan SCONPO, akan terus bekerjasama rapat dengan agensi anggota dan pihak berkepentingan bagi memperkukuh kerjasama kawal selia, memelihara keselamatan negara serta memastikan sumber kebajikan sampai kepada penerima yang sepatutnya tanpa diselewengkan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.
Usaha itu juga bertujuan mewujudkan persekitaran kawal selia yang seimbang bagi melindungi integriti sektor NPO, di samping membolehkan pertubuhan kebajikan meneruskan khidmat kepada komuniti secara berkesan.
-- BERNAMA