Bursa Malaysia Kekal Tinggi Pada Tengah Hari Menjelang Belanjawan 2027
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari, disokong oleh aktiviti belian berterusan terhadap saham wajaran tinggi terpilih terutama dalam sektor produk dan perkhidmatan pengguna, telekomunikasi dan media serta produk dan perkhidmatan perindustrian menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.08 mata atau 0.38 peratus kepada 1,607.09 daripada 1,601.01 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.93 mata lebih tinggi kepada 1,602.94 mata dan bergerak antara 1,600.55 hingga 1,609.94 mata sepanjang sesi dagangan pagi.
Di pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 478 berbanding 469, manakala 502 kaunter tidak berubah, 1,379 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan mencecah 2.03 bilion unit bernilai RM1.34 bilion.
Saham 99 Speed Mart Retail meningkat 15 sen kepada RM3.27, CelcomDigi menambah lima sen kepada RM2.52 manakala Press Metal Aluminium naik tujuh sen kepada RM7.19. Ketiga-tiga kaunter ini secara keseluruhan menyumbang 4.32 mata kepada kenaikan indeks komposit.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd Belanjawan 2027 menjadi tumpuan utama hari ini, dengan pelabur memantau langkah yang bakal diumumkan bagi menyokong industri strategik dan perbelanjaan isi rumah.
“99 Speed Mart Retail berpotensi menerima manfaat daripada peningkatan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) melalui Belanjawan 2027, yang berpotensi meningkatkan perbelanjaan pengguna di premis peruncitan yang menawarkan barangan pada harga berpatutan,” menurut firma itu dalam nota hari ini.
Antara saham wajaran tinggi lain, Sunway Bhd dan Gamuda masing-masing menambah tujuh sen kepada RM4.38 dan RM5.02, Axiata naik lima sen kepada RM1.64 manakala Petronas Gas susut 38 sen kepada RM17.42 dan Petronas Chemicals rendah lima sen kepada RM4.21.
Dalam dagangan aktif, Zetrix AI dan V.S Industry masing-masing meningkat setengah sen kepada lapan sen dan 33.5 sen, Dagang NeXchange susut setengah sen kepada 52 sen, Top Glove rendah tiga sen kepada 84.5 sen dan XiDeLang tidak berubah pada setengah sen.
Antara kaunter paling untung, Mi Technovation naik 62 sen kepada RM6.70, United Plantations meningkat 52 sen kepada RM30.92, Kuala Lumpur Kepong menokok 18 sen kepada RM20.72, Malaysian Pacific Industries menambah 32 sen kepada RM43.8 dan TMK Chemical meningkat 16 sen kepada RM2.77.
Fraser & Neave mendahului kaunter paling rugi, menyusut 18 sen kepada RM20.46, Genting Plantations rendah 16 sen kepada RM5.58, Allianz Malaysia susut 12 sen kepada RM20.04, FCW berkurangan 11 sen kepada RM1.70, dan Negeri Sembilan Oil Palms berkurangan 10 sen kepada RM5.35.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 114.79 mata kepada 17,651.86, Indeks FBM Emas menokok 52.87 mata kepada 12,082.63, Indeks FBM Top 100 mengukuh 53.38 mata kepada 11,858.49, Indeks FBM Emas Shariah naik 65.50 mata kepada 12,125.33, dan Indeks FBM ACE menokok 30.89 mata kepada 5,625.67.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 114.79 mata kepada 17,651.86, Indeks FBM Emas naik 52.87 mata kepada 12,082.63, Indeks FBM Top 100 mengukuh 53.38 mata kepada 11,858.49, Indeks FBM Emas Shariah menambah 65.50 mata kepada 12,125.33 dan Indeks FBM ACE menokok 30.89 mata kepada 5,625.67.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.82 mata kepada 179.65, Indeks Tenaga susut 0.04 mata kepada 839.30, Indeks Perladangan menambah 44.24 mata kepada 8,914.03 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.51 mata kepada 18,377.94.
-- BERNAMA