Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Menjelang Pengumuman Belanjawan 2027
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat menjelang pembentangan Belanjawan 2027 hari ini, dengan pelabur memantau langkah-langkah untuk menyokong industri strategik dan perbelanjaan isi rumah.
Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.14 mata kepada 1,602.15 daripada 1,601.01 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks dibuka tinggi 1.93 mata kepada 1,602.94.
Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 233 berbanding 216 manakala 284 kaunter tidak berubah, 2,095 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 326.93 juta unit bernilai RM155.22 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd memaklumkan bahawa FBM KLCI kekal berada di bawah paras purata bergerak utama.
“Petunjuk momentum menunjukkan tekanan jualan dijangka mereda, disokong oleh pembentukan corak dasar membulat pada Penumpuan dan Pencapahan Purata Bergerak serta Indeks Kekuatan Relatif yang berada hampir pada zon terlebih jual.
“Paras halangan utama terletak pada 1,616 hingga 1,631 manakala paras sokongan jangka masa terdekat dijangka berada pada 1,571 hingga 1,586,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Malacca Securities memaklumkan 99 Speed Mart Retail berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di bawah Belanjawan 2027, yang berpotensi meningkatkan perbelanjaan pengguna di kedai peruncit yang menawarkan barangan pada harga berpatutan.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur berikutan laporan bahawa hasil tahunan OpenAI adalah lebih rendah berbanding angka yang dilaporkan sebelumnya.
“Sementara itu, harga minyak mentah kekal tinggi manakala hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun menyusut kepada 5.235 peratus.
“Di Hong Kong, indeks HSI menurun kepada paras terendah dalam tempoh dua bulan berikutan sentimen yang terjejas oleh lonjakan harga minyak mentah dan ketidaktentuan dalam pasaran bon,” katanya kepada Bernama.
Di pasaran tempatan, beliau melihat paras semasa FBM KLCI sebagai peluang yang baik untuk membeli saham mewah tempatan dan menjangka indeks tersebut meningkat semula dalam masa terdekat.
“Kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,600 hingga 1,615 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing menambah satu sen kepada RM9.81 dan RM4.56, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM12.92, IHH Healthcare meningkat tujuh sen kepada RM7.95 manakala CIMB menurun tiga sen kepada RM7.23.
Dalam dagangan aktif, Dagang NeXchange menambah 1.5 sen kepada 54 sen, Ni Hsin naik setengah sen kepada 39.5 sen, Top Glove menurun dua sen kepada 85.5 sen manakala Xidelang dan Land & General, masing-masing mendatar pada setengah sen dan 19 sen.
Kaunter paling untung ialah Mi Technovation meningkat 56 sen kepada RM6.64, BLD Plantation naik 12 sen kepada RM14.98, Hong Leong Industries menambah 12 sen kepada RM16.20, Samaiden menokok sembilan sen kepada RM3.10 dan Solarvest naik lapan sen kepada RM4.24.
Kaunter paling rugi termasuklah Negri Sembilan Oil Palms menurun 42 sen kepada RM5.03, Malaysian Pacific Industries merosot 18 sen kepada RM43.32, FCW berkurangan 11 sen kepada RM1.70 serta Hong Leong Financial Group dan APM Automotive, masing-masing menyusut 10 sen kepada RM17.18 dan RM2.60.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 12.37 mata kepada 17,549.44, Indeks FBM Emas naik 9.56 mata kepada 12,039.32, Indeks FBM Top 100 menambah 8.41 mata kepada 11,813.52, Indeks FBM Emas Shariah menokok 17.87 mata kepada 12,0n77.70 dan Indeks FBM ACE naik 14.24 mata kepada 5,609.02.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.11 mata kepada 178.72, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 30.91 mata kepada 18,347.54 dan Indeks Perladangan berkurangan 12.29 mata kepada 8,857.50 manakala Indeks Tenaga meningkat 4.37 mata kepada 843.71.
Dagangan sekuriti berkaitan MKH Bhd akan digantung mulai 9.00 pagi, Jumaat, 16 Okt 2026, menurut Perenggan 16.02(3) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
-- BERNAMA