BERITA TERKINI   Belanjawan 2027:  Belanjawan Waad Nasional berpaksikan lapan lunas utama antaranya tangani kos sara hidup rakyat, utamakan semua negeri, angkat mutu perkhidmatan rakyat | Belanjawan 2027: Sara hidup isu utama belenggu rakyat, justeru Kerajaan sentiasa tambah baik dasar pastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan | Belanjawan 2027: Belanjawan MADANI Kelima menandai ikhtiar menuju cita-cita besar wajah Malaysia pada tahun mendatang dengan reformasi diteruskan tanpa gentar  | Keutamaan kerajaan kekal untuk memacu pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh keterangkuman, sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia – MoF | Belanjawan 2027: Sekiranya kerajaan masih tangguhkan penyasaran subsidi pada saat krisis tenaga, tentu lebih besar daripada RM40 bilion beban kewangan yang perlu ditanggung  | 

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia Meningkat 5.0 Peratus Pada Ogos

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 5.0 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026 berbanding 4.7 peratus pada Julai, didorong terutamanya oleh output sektor pembuatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM berkata nilai jualan sektor pembuatan meningkat 9.9 peratus tahun ke tahun kepada RM185 bilion pada Ogos berbanding RM168.3 bilion setahun lepas.

Pertumbuhan kukuh dalam industri berorientasikan eksport serta peningkatan meluas dalam sektor pembuatan menyumbang kepada perkembangan sektor itu sebanyak 7.4 peratus berbanding 6.4 peratus pada Julai, manakala sektor elektrik berkembang 9.0 peratus berbanding 5.5 peratus sebelumnya.

Ad Banner

“Sektor perlombongan menguncup 7.4 peratus susulan penurunan pengeluaran minyak mentah dan kondensat sebanyak 12.2 peratus serta pengeluaran gas asli sebanyak 4.3 peratus,” menurut kenyataan itu.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP kembali mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus pada Ogos 2026 selepas menguncup 2.0 peratus pada Julai.

DOSM berkata pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan 3.4 peratus dalam sektor pembuatan, diikuti kenaikan 1.2 peratus dalam sektor elektrik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Secara kumulatif, IPP meningkat 5.6 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama 2026 berbanding 2.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut mengenai sektor pembuatan, DOSM berkata industri berorientasikan eksport berkembang 9.1 peratus pada Ogos berbanding 6.7 peratus pada Julai, disokong oleh pembuatan produk komputer, elektronik dan optik yang meningkat 18.8 peratus serta pembuatan mesin dan peralatan yang berkembang 13.8 peratus.

“Industri berorientasikan domestik berkembang 3.9 peratus, disokong oleh pembuatan logam asas yang meningkat 9.9 peratus dan produk pemprosesan makanan yang naik 6.5 peratus.

“Seiring dengan perkembangan itu, kadar penggunaan kapasiti industri pembuatan Malaysia turut meningkat kepada 84.1 peratus pada Ogos 2026 berbanding 83.2 peratus pada Julai,” kata kenyataan itu.

DOSM berkata bilangan pekerja dalam sektor pembuatan meningkat 1.2 peratus kepada 2.43 juta orang, manakala jumlah gaji dan upah yang dibayar naik 3.5 peratus kepada RM8.55 bilion.

Nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat 8.7 peratus kepada RM76,148, manakala purata gaji bulanan bagi setiap pekerja naik 2.3 peratus kepada RM3,519.

Secara kumulatif, jualan sektor pembuatan meningkat 7.9 peratus kepada RM1.39 trilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berbanding pertumbuhan 3.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA