BERITA TERKINI   WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026: Malaysia raih satu pingat gangsa, 13 Medal for Excellence | 

TNB Berdepan Kenaikan Kos Penjanaan, Tertakluk Kerangka Kawal Selia Tenaga

Oleh Siti Radziah Hamzah

 

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Sebagai teras sistem elektrik Semenanjung Malaysia, Tenaga Nasional Bhd (TNB) memainkan peranan yang melangkaui fungsi sebuah syarikat komersial biasa, apabila tarif, perbelanjaan dan pulangannya tertakluk kepada kerangka kawal selia, selain bertanggungjawab menyelenggara infrastruktur bekalan elektrik yang kritikal.

Ad Banner

Berbeza dengan syarikat yang boleh melaraskan harga secara bebas susulan peningkatan kos input, tarif elektrik di Semenanjung Malaysia ditentukan berdasarkan kerangka kawal selia yang ditadbir Suruhanjaya Tenaga (ST).

Di bawah Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990, ST mempunyai kuasa menentukan tarif dan caj yang dikenakan oleh pemegang lesen, tertakluk kepada kelulusan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Pengawasan itu turut meliputi kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), yang menentukan kos berhemat dan cekap yang boleh dipulihkan oleh entiti terkawal, menetapkan sasaran prestasi serta menyediakan pulangan yang adil dan munasabah ke atas aset terkawal.

Ad Banner
Ad Banner

Justeru, bil elektrik bukan sahaja mencerminkan kos penjanaan elektrik, tetapi turut mengambil kira sistem kawal selia yang mengatur tarif, pelaburan infrastruktur dan pemulihan kos.

 

Tarif terkawal dan pengawasan kerajaan

Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), yang berlangsung dari 1 Julai 2025 hingga 31 Dis 2027, menjadi kerangka bagi menentukan kos dan hasil perniagaan elektrik yang dikawal selia.

Pada 20 Jun 2025, ST mengumumkan tarif asas purata 45.40 sen setiap kilowatt-jam (kWj) bagi RP4, lebih rendah berbanding 45.62 sen setiap kWj yang diluluskan kerajaan pada Disember 2024. Jadual tarif yang disemak itu berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.

Di bawah IBR, tarif asas merangkumi perbelanjaan modal dan operasi yang cekap bagi penghantaran, pengagihan, operasi sistem grid, Pembeli Tunggal dan operasi peruncitan, selain pulangan terkawal ke atas asas aset berkaitan.

ST pula menyemak prestasi dan perbelanjaan entiti terkawal berdasarkan unjuran yang diluluskan, manakala perniagaan yang dikawal selia dan tidak dikawal selia perlu diasingkan.

Struktur tarif RP4 turut membahagikan caj elektrik kepada komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan, sekali gus memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pengguna mengenai komponen yang mereka bayar.

Menurut ST, struktur yang disemak itu bertujuan meningkatkan ketelusan caj elektrik serta memastikan caj berkenaan lebih mencerminkan struktur kos asas industri.

Pengawasan kawal selia itu penting bagi rangkaian penghantaran dan pengagihan yang mempunyai ciri monopoli semula jadi, memandangkan penggandaan infrastruktur grid berskala besar melibatkan kos yang tinggi dan tidak cekap.

Sehubungan itu, peranan ST bukan sahaja meliputi penetapan tarif, malah memastikan keselamatan, kebolehpercayaan, kecekapan dan kualiti bekalan elektrik, selain mencegah penyalahgunaan kuasa monopoli atau kuasa pasaran.

Kesemua pengaturan berkenaan meletakkan perniagaan TNB yang dikawal selia dalam kedudukan berbeza daripada syarikat yang harga, pelaburan dan pulangannya sebahagian besarnya ditentukan berdasarkan pertimbangan komersial.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB dari 2019 hingga 2021, berkata TNB memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keseimbangan sistem elektrik.

“TNB memikul sebahagian besar tanggungjawab untuk memastikan keseimbangan ini dicapai dengan baik dan seperti yang kita lihat baru-baru ini susulan isu bil elektrik, ia sememangnya satu peranan yang sukar,” katanya dalam hantaran terbaharunya di LinkedIn.

 

Kos penjanaan terdedah kepada harga bahan api global

Walaupun tarif dan pulangan dikawal selia, kos penjanaan elektrik masih terdedah kepada turun naik harga bahan api global, berdasarkan komposisi sumber penjanaan di Semenanjung Malaysia.

Dalam Kajian Semula Kawal Selia Tahunan 2026 yang dikeluarkan pada 1 April, ST memaklumkan arang batu menyumbang 58.5 peratus daripada jumlah penjanaan elektrik pada 2025, manakala gas asli menyumbang 33.5 peratus.

Dengan kedua-dua bahan api itu menyumbang 92 peratus daripada jumlah penjanaan elektrik, perubahan harga arang batu dan gas asli boleh memberi kesan ketara kepada kos penjanaan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata harga arang batu global meningkat kepada US$130.67 setiap tan pada Ogos daripada US$129.63 pada Julai, sebelum naik kepada US$148 setiap tan pada 10 Sept, sekali gus meningkatkan kos penjanaan elektrik.

Harga gas asli cecair (LNG) pula meningkat 13.2 peratus kepada purata US$21.87 bagi setiap juta unit terma British (MMBtu) pada Ogos daripada US$19.32 pada Julai, sebelum menghampiri US$30 setiap MMBtu pada pertengahan September, sekali gus menambah kos penjanaan elektrik berasaskan gas.

 

Kos bahan api dan pulangan terkawal

Mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) menyediakan kaedah untuk mengambil kira perubahan kos penjanaan dalam sistem elektrik yang dikawal selia.

Diperkenalkan pada Julai 2025 bagi menggantikan Mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT), AFA dikira setiap bulan berbanding setiap enam bulan sebelum ini, sekali gus membolehkan perubahan kos penjanaan diambil kira dengan lebih cepat.

Menurut Garis Panduan Pelaksanaan Kawal Selia ST, mekanisme itu melaraskan perbezaan antara kos penjanaan sebenar dengan kos penjanaan yang dibenarkan, termasuk perubahan harga bahan api dan kos pembelian elektrik.

Sementara itu, Pembeli Tunggal beroperasi berdasarkan rejim kos sebenar, yang membolehkannya mendapatkan semula kos pembelian elektrik daripada pengeluar tenaga bebas (IPP) dan TNB Generation.

Ini bermakna turun naik kos bahan api dan kos penjanaan diambil kira secara berasingan daripada pulangan terkawal ke atas rangkaian elektrik dan aset lain yang dikawal selia.

Justeru, kenaikan harga arang batu atau LNG tidak secara automatik meningkatkan keuntungan terkawal TNB kerana perubahan kos penjanaan ditangani melalui mekanisme AFA.

 

Peningkatan permintaan, daya tahan grid 

Sistem itu juga perlu menguruskan kos penjanaan lebih tinggi di tengah-tengah peningkatan permintaan tenaga telektrik.

Akmal Nasrullah berkata permintaan elektrik harian pada waktu puncak mencecah 21,949 megawatt (MW) pada 9 September 2026 iaitu peningkatan sebanyak 4.7 peratus berbanding purata pada Ogos.

Namun, kata beliau, peningkatan berkenaan masih dalam lingkungan margin rizab yang dapat ditampung oleh sistem bekalan elektrik sedia ada.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus memastikan kapasiti penjanaan dan bekalan elektrik yang mencukupi bagi menyokong aktiviti ekonomi, memenuhi keperluan rakyat serta memperkukuh daya tahan sistem tenaga negara.

Tinjauan Pengawalseliaan Tahunan Suruhanjaya Tenaga (ST) 2026 meletakkan margin rizab pada 25 peratus pada 2025 selain mengenal pasti perkembangan sektor perindustrian, pusat data, elektrifikasi, keadaan cuaca dan penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai antara faktor yang mendorong peningkatan permintaan elektrik.

Permintaan juga dijangka kekal kukuh dengan Kenanga Investment Bank mengunjurkan pertumbuhan 5.0 peratus pada 2026 dan 3.5 peratus pada 2027 manakala pusat data dijangka menjadi penyumbang utama pertumbuhan itu.

Bank pelaburan itu juga menganggarkan pelaburan pusat data dapat menjana permintaan tenaga elektrik melebihi 8,000 MW menjelang 2035 atau menyamai kira-kira 30 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan dengan kira-kira 700 MW pula dijangka beroperasi pada tahun ini.

Pada masa sama, skala permintaan tambahan itu mencetuskan persoalan mengenai pihak yang perlu menanggung kos infrastruktur grid yang diperlukan bagi menampung beban elektrik baharu yang lebih besar.

Menerusi pendekatan kerajaan iaitu “pengguna membayar,” pengendali pusat data perlu menanggung kos tambahan bagi memperkukuh infrastruktur grid dan bukannya bertindak melepaskan kos itu kepada pengguna elektrik lain.

Kategori tarif khusus voltan ultra tinggi turut diperkenalkan bagi pusat data yang beroperasi pada tahap voltan tinggi dan voltan ekstra tinggi.

Selain itu, rangka kerja caj sambungan TNB pula menetapkan caj berdasarkan kos projek bagi sambungan voltan tinggi tertentu serta infrastruktur yang khusus.

Pendekatan itu membolehkan sistem elektrik menampung pengguna baharu berskala besar tanpa memindahkan kos tambahan infrastruktur yang diperlukan kepada pengguna lain.

 

Kos di sebalik perlindungan pengguna

Persoalan mengenai pihak mana yang secara mutlak menanggung kos elektrik itu juga menjadi tumpuan utama dalam kalangan pengguna domestik.

Amir Hamzah pula menyifatkan rasa tidak puas hati ramai terhadap bil elektrik yang tinggi sebagai sesuatu yang boleh difahami, apalagi dalam situasi jerebu yang berpanjangan serta fenomena El Niño yang menyebabkan penggunaan elektrik isi rumah meningkat daripada kebiasaannya.

Pengguna yang terbukti melepasi had kelayakan subsidi terpaksa menanggung kos penuh bagi penggunaan masing-masing.

“Tiada rangka kerja penetapan harga khusus yang mampu melindungi isi rumah daripada impak cuaca,” katanya.

Kerajaan kemudian bertindak memperluaskan tahap perlindungan subsidi bil elektrik pengguna domestik di Semenanjung Malaysia daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan yang berkuat kuasa bagi penggunaan mulai 1 September sehingga Disember 2026.

Amir Hamzah berkata ini bermakna 90 peratus daripada pengguna domestik terbabit akan berada dalam julat dilindungi itu manakala TNB dan Kumpulan Wang Industri Elektrik menyerap implikasi kos dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta ST mengusahakan penyelesaian lebih kekal.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad berkata peningkatan aras perlindungan itu merangkumi tambahan hampir satu juta pengguna domestik, menjadikan jumlah penerima manfaat itu kepada lebih lapan juta pengguna.

Ini menjadikan pengguna domestik dengan penggunaan 800kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lapan peratus serta caj peruncitan.

Perlindungan itu bagaimanapun diiringi kos dengan TNB dijangka menyerap kos tambahan RM120 juta hingga RM150 juta bagi tempoh September hingga Disember 2026 berikutan pengecualian kerajaan yang diperluaskan itu.

Menurut Kenanga IB, penyerapan itu merupakan kos langsung kepada TNB namun pada masa sama menjangkakan kesannya masih mampu diuruskan iaitu kurang daripada tiga peratus daripada pendapatan TNB bagi tahun kewangan 2026 dengan kesan berkenaan tertumpu pada suku keempat.

Walaupun TNB sebagaimana sebelum ini dilindungi daripada turun naik kos bahan api menerusi Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Sembang (ICPT) di bawah IBR, bank pelaburan itu mengingatkan penyerapan kos yang berpanjangan boleh mengundang penangguhan kawal selia jika pemindahan kos penuh melalui RP4 terus berdepan kekangan.

Berikutan itu, Kenanga IB menyatakan sebarang lanjutan melangkaui tempoh akhir 2026 berkemungkinan mencetuskan ketidaktentuan pendapatan lebih ketara jika kenaikan harga bahan api berlanjutan.

Dalam pada itu, Amir Hamzah juga menekankan pengurusan penggunaan tenaga elektrik juga tidak harus bergantung semata-mata kepada pendekatan kerajaan serta peranan TNB.

“Walaupun kerajaan memacu dasar perlindungan manakala institusi seperti TNB menggalas tanggungjawab utama, kita semua mempunyai peranan masing-masing dalam perkara ini. Penggunaan tenaga secara cekap perlu menjadi norma baharu dan bukannya pelarasan sementara," katanya dalam hantaran di platform LinkedIn.

Pengaturan sedia ada menyediakan ruang penimbal antara kos penjanaan lebih tinggi dengan kadar yang akhirnya dibayar oleh kebanyakan isi rumah bagi bekalan elektrik.

Secara keseluruhannya, TNB dilihat beroperasi di antara dua persimpangan -- pertimbangan komersial dan kewajipan sistem elektrik yang lebih meluas dengan perniagaan itu tertakluk kepada kawalan tarif dan pulangan ketika TNB menyelenggara serta melabur dalam infrastruktur diperlukan untuk memenuhi permintaan yang terus ketara.

Apa yang pastinya, ketika keperluan elektrik Malaysia terus meningkat, usaha mengekalkan keseimbangan sedemikian memerlukan pelaburan berterusan untuk memastikan grid terus diyakini selain mengurus aspek kebolehmampuan, perlindungan pengguna serta peralihan kepada tenaga lebih bersih.

-- BERNAMA