BERITA TERKINI   Gerakan penyatuan ummah perlu terus diusahakan agar perbezaan parti tak halang capai kesepakatan - TPM Ahmad Zahid | Gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 berlaku di Kuamut, Kinabatangan, Sabah pada 5.35 pagi tadi - MetMalaysia | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Sept  (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, dengan kecenderungan menurun sedikit disebabkan aktiviti pengambilan untung.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata niaga hadapan MSM mungkin menyaksikan aktiviti pengambilan untung berikutan penurunan harga tenaga.

Ad Banner

“Sehubungan itu, harga dijangka diniagakan antara RM4,300 dan RM4,400 setan, walaupun stok MSM bagi Ogos lebih tinggi iaitu 2.8 juta tan,” katanya kepada Bernama

Teh juga berkata stok minyak sawit di Indonesia kekal tinggi, dengan permintaan fizikal datang dari China, India, Pakistan, Asia Barat, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata harga MSM dijangka mengalami pengukuhan, dengan pergerakan harga berkemungkinan dipengaruhi oleh data eksport minyak sawit dan prestasi daripada saingan minyak sayuran.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami menjangkakan harga diniagakan dalam julat antara RM4,550 hingga RM4,750 setan minggu depan,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Oktober 2026 susut RM223 kepada RM4,475 setan, manakala November turun RM222 kepada RM4,578 setan dan Disember merosot RM226 kepada RM4,672 setan.

Kontrak Januari 2027 menurun RM215 kepada RM4,768 setan, Februari menyusut RM193 kepada RM4,861 setan, manakala Mac merosot RM172 kepada RM4,941 setan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 665,059 lot daripada 561,289 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 342,948 kontrak daripada 339,480 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan susut RM120 kepada RM4,530 setan.

-- BERNAMA