BERITA TERKINI   PM Anwar akan bertemu Anthony Loke bincang peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan | ASIAD: Atlet karate Thevendran Kaliana Sundram raih pingat gangsa pertama negara menerusi acara kumite lelaki kategori bawah 55kg | 

Jerebu Rentas Sempadan, Melangkaui Isu Titik Panas Dan Perdebatan Minyak Sawit

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 20 Sept (Bernama) -- Jerebu yang kembali melanda beberapa kawasan di Malaysia sekali lagi menjadikan isu kebakaran hutan dan tanah di rantau ini menjadi tumpuan.

Namun, ketika asap semakin merebak dan imej satelit mula menunjukkan titik panas, persoalan mengenai lokasi sebenar kebakaran dan puncanya ternyata jauh lebih rumit daripada apa yang disaksikan.

Ad Banner

Kali ini, antara tindakan Malaysia adalah menawarkan bantuan memadamkan kebakaran kepada Indonesia sekali gus mencerminkan hakikat bahawa jerebu tidak mengenal sempadan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis berkata, Malaysia menawarkan bantuan sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tawaran itu disampaikan kepada Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka dalam satu pertemuan bersempena dengan lawatan kerja Ahmad Zahid selama empat hari ke Indonesia. Perkara itu akan dibawa kepada Presiden Prabowo Subianto untuk persetujuan pemerintah Indonesia.

Ad Banner

Pesawat Bombardier CL-415MP APMM, yang berkeupayaan melakukan operasi pemadaman kebakaran dari udara, pernah dihantar ke Sumatera Selatan pada 2015 dan melepaskan 546,000 liter air sepanjang lima hari penugasan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata langkah itu bertujuan membantu Indonesia menangani masalah jerebu rentas sempadan, dan bukan berhasrat mencampuri urusan Indonesia.

Keperluan yang mendesak ini jelas tergambar melalui bacaan kualiti udara di Malaysia.

Sehingga 5 petang Jumaat, sebanyak 32 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia, Johan Setia di Selangor mencatatkan bacaan tertinggi 183, diikuti Shah Alam (169), Petaling Jaya (162), Banting (161) dan Klang (159).

Sarawak merekodkan jumlah kawasan terjejas yang tertinggi, dengan Kuching mencatatkan bacaan IPU 174, diikuti Samarahan (167), IPD Serian (166), Sibu (162), Bintulu (161), Sarikei (155), Sri Aman (154) dan Kapit (153).

Putrajaya pula merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 172 manakala Batu Muda dan Cheras masing-masing 167 dan 165. Temerloh dan Jerantut di Pahang pula masing-masing merekodkan bacaan 155 dan 151.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

Bagi orang ramai, kebimbangan utama mereka adalah asap dan jerebu. Namun, bagi pihak yang cuba mengenal pasti lokasi kebakaran, persoalannya adalah jauh lebih rumit.

Indonesia memaklumkan negara itu mematuhi mekanisme tindak balas jerebu sedia ada ASEAN, termasuk melaporkan data titik panas setiap hari, unjuran pergerakan asap serta langkah memadamkan kebakaran.

ASEAN mengaktifkan amaran Tahap 3 bagi jerebu rentas sempadan yang serius pada 26 Ogos. Melalui mekanisme itu, negara anggota berkongsi maklumat bagi membantu negara jiran mengambil langkah berjaga-jaga.

Pada masa sama, isu jerebu sekali lagi membangkitkan persoalan mengenai peranan industri minyak sawit terhadap kebakaran di rantau ini.

Bagaimanapun, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kebakaran hutan dan tanah gambut di rantau ini tidak boleh dikaitkan terutamanya dengan aktiviti penanaman sawit kerana pemetaan satelit ketika ini menunjukkan kewujudan titik panas berlaku di pelbagai jenis penggunaan tanah.

Menurutnya ini termasuk kawasan yang tidak diurus, ladang kayu pulpa dan plot pertanian berskala kecil.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Badrul Hisham Mohd berkata aktiviti pihak (manusia) yang membersihkan tanah masih kekal menjadi antara faktor utama menyebabkan kebakaran manakala keadaan iklim yang luar biasa seperti El Niño boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih luas.

“Dari sudut saintifik, El Niño dan cuaca kering yang berpanjangan bertindak semata-mata sebagai faktor persekitaran yang memburukkan keadaan, bukannya pencetus kebakaran itu sendiri.

“Oleh itu, perbezaan tersebut penting apabila melihat jenis kebakaran yang berlaku,” katanya kepada Bernama. 

Badrul Hisham berkata kebakaran hutan tidak berlaku secara tiba-tiba dalam iklim lembap di rantau ini, dengan penyalaan (kebakaran) biasanya dikaitkan dengan aktiviti manusia.

Bagaimanapun, cuaca kering yang berpanjangan mengurangkan kelembapan tanah dan tumbuh-tumbuhan, sekali gus menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih cepat. 

Masalah itu menjadi semakin sukar untuk diuruskan jika melibatkan kawasan gambut kerana tanah gambut yang kering, mudah terbakar di bawah permukaannya. 

Sehubungan itu, katanya, ia boleh menyebabkan kebakaran sukar dikesan dan dipadamkan. 

“Apabila ia menyala, kebakaran tanah gambut boleh terus membara di bawah tanah dan mungkin menyala semula walaupun selepas kebakaran di bahagian permukaan dilihat telah berjaya dikawal. 

“Keadaan ini boleh berterusan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, dan ini bergantung kepada arah angin, sekali gus menyumbang kepada situasi jerebu rentas sempadan yang berpanjangan,” katanya. 

 

Apabila Risiko Kebakaran Meningkat

 

Ketua Pengarah yang baru dilantik itu turut menekankan bahawa industri sawit Malaysia tidak seharusnya digambarkan sebagai industri mengamalkan pembakaran terbuka secara bermusim memandangkan amalan tanpa pembakaran telah ditetapkan dalam industri itu menerusi Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwajibkan dan dikuatkuasakan sejak Januari 2020. 

Menurutnya risiko kebakaran berubah mengikut musim. 

Risiko itu secara umumnya meningkat semasa musim kering yang berpanjangan terutama dari Jun hingga September sepanjang monsun barat daya manakala sesetengah kawasan turut mengalami tempoh kering sekitar Januari dan Februari. 

Taburan hujan yang lebih rendah, penurunan kelembapan tanah dan tanah gambut serta suhu yang lebih tinggi sepanjang tempoh itu meningkatkan kemungkinan kebakaran merebak yang bermula secara tidak disengajakan atau tanpa kebenaran, dengan El Niño berupaya meningkatkan lagi risiko.

Peta titik panas satelit juga perlu ditafsir dengan berhati-hati.

Titik panas adalah petunjuk mengenai kemungkinan berlaku kebakaran. Ini bukanlah bukti pembakaran terbuka atau bukti seseorang memulakan kebakaran.

"Perbezaan itu penting kerana titik panas boleh mengenal pasti lokasi kebakaran mungkin berlaku, tetapi tidak semestinya siapa yang memulakan atau jenis penggunaan tanah yang terlibat.

“Oleh itu, bagi Malaysia dan Indonesia, terdapat dua cabaran yang perlu ditangani segera iaitu mengawal kebakaran dan meningkatkan keupayaan untuk mengenal pasti puncanya,” katanya.

Buat masa ini, Malaysia menawarkan penggunaan pesawat, helikopter dan kakitangan dalam usaha memadamkan kebakaran, tetapi masalah jerebu tidak mungkin dapat diselesaikan hanya dengan memadamkan kebakaran.

Keadaan ini memandangkan langkah pencegahan, pengurusan tanah dan pengesanan awal terus menjadi sebahagian daripada usaha untuk menangani masalah ini selain kerjasama antara negara yang berkongsi ruang udara yang sama, kadangkala asap yang sama.

Perdebatan mengenai minyak sawit akan terus berlarutan terutama setiap kali jerebu kembali melanda.

Sehubungan itu, titik panas yang dipaparkan menerusi satelit sahaja tidak dapat menyelesaikan perdebatan itu.

Kebakaran berlaku di pelbagai jenis kawasan tanah manakala keadaan cuaca boleh menentukan seberapa cepat kebakaran merebak dan berapa lama keadaan itu berlarutan.

Oleh itu, usaha untuk mengenal pasti sumber dan punca sebenar setiap kebakaran adalah sama pentingnya dengan langkah memadamkan kebakaran.

Bagi Malaysia, Indonesia dan negara-negara lain di rantau ini, mengenal pasti sumber sebenar dan punca mungkin merupakan aspek yang paling sukar dalam mengatasi isu jerebu.

-- BERNAMA