Belanjawan 2027: Mah Sing Cadang Langkah Perkasa Pemilikan Rumah Pembeli Pertama
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd berharap kerajaan terus menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda dan isi rumah berpendapatan sederhana menerusi cadangannya bagi Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Okt ini.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum berkata antara langkah paling berkesan yang diperkenalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama, yang membantu mengurangkan kos awal pembelian serta meningkatkan kemampuan memiliki rumah.
Beliau turut berharap Kempen Pemilikan Rumah (HOC 3.0) dapat diperbaharui bagi menawarkan penjimatan kos, mengekalkan permintaan sihat daripada pemilik yang mendiami kediaman sendiri serta memastikan kestabilan pasaran dalam jangka panjang.
“Mah Sing berpandangan Belanjawan 2027 merupakan peluang tepat untuk memperkenalkan langkah praktikal dan berpandangan jauh bagi memperkukuh ekosistem perumahan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Leong berkata akses kepada pembiayaan kekal antara halangan terbesar yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia sukar memiliki rumah.
Beliau berkata golongan profesional muda, pekerja ekonomi gig, individu bekerja sendiri dan isi rumah yang mempunyai dokumentasi pendapatan tidak tetap sering mempunyai kemampuan untuk membuat bayaran balik, namun tidak memenuhi kriteria pinjaman konvensional.
Sehubungan dengan itu, kumpulan berkenaan menggalakkan kerajaan meneruskan usaha memperkukuh inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan, selain mengkaji semula had kelayakan bagi insentif pemilikan rumah pertama dan sokongan pembiayaan terpilih dengan menaikkannya daripada RM500,000 kepada RM600,000 bagi hartanah di kawasan bandar berkos tinggi, khususnya di Lembah Klang.
Bagi mempercepatkan penyediaan perumahan, Leong menggesa usaha berterusan untuk mengurangkan kos pematuhan yang tidak perlu, di samping mengekalkan piawaian tadbir urus menerusi pendigitalan dan proses kelulusan yang dipermudah.
Beliau berkata penyelarasan rapat antara proses kelulusan perumahan, jaringan pengangkutan, bekalan elektrik dan air serta kemudahan komuniti dapat membantu mewujudkan komuniti yang terancang, saling berhubung dan selesa didiami, selain meningkatkan kecekapan pembangunan.
Leong berkata peluasan berterusan infrastruktur pengangkutan dan koridor ekonomi, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, menunjukkan bagaimana perancangan bersepadu dapat membuka kawasan pertumbuhan baharu serta mengukuhkan asas permintaan dalam jangka panjang.
“Bekalan perumahan pada masa hadapan juga perlu dipandu oleh pendekatan berasaskan data yang lebih menyeluruh supaya pembangunan selaras dengan permintaan pasaran sebenar dari segi lokasi, jenis produk dan harga,” katanya.
Beliau berkata industri perlu terus mengguna pakai kejuruteraan nilai, teknologi digital, kaedah pembinaan prafabrikasi, strategi perolehan yang lebih baik serta pengurusan rantaian bekalan yang lebih kukuh bagi meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan sumber dan menyokong pelaksanaan projek yang lebih cekap serta boleh dipercayai.
Pemaju terus berdepan peningkatan kos bahan binaan, tenaga kerja, pengangkutan, utiliti dan pematuhan peraturan, manakala pembeli rumah semakin mengutamakan aspek kesalinghubungan, aksesibiliti, kemudahan, kebolehdiaman, susun atur praktikal dan nilai jangka panjang ketika memilih kediaman.
“Kumpulan itu berharap Belanjawan 2027 memperkenalkan dasar bagi meningkatkan kemampuan dan akses kepada perumahan, menggalakkan pelaburan sektor swasta serta mengukuhkan peranan sektor hartanah sebagai penyumbang utama kepada daya tahan ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.
-- BERNAMA