R2G Tawar Peluang Teknologi, Pelaburan Dan Pengkomersialan Kepada Perniagaan Di Johor
Oleh Nur Fadhliana Shaari
KULAI, 13 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) meneruskan program jelajah seluruh negara menerusi acara Road to Growth (R2G) 2026 di wilayah selatan, bertujuan untuk menghubungkan perniagaan di Johor dengan peluang pengkomersialan teknologi, pelaburan dan pasaran.
R2G 2026 Wilayah Selatan dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sebagai rakan kongsi ekosistem strategik, menyediakan perniagaan akses terus kepada wawasan industri, laluan pelaburan dan pengkomersialan, sokongan khidmat nasihat serta bakal rakan kongsi strategik di dalam negeri dan ekosistem teknologi nasional yang lebih luas.
Acara ini berlangsung pada masa yang penting bagi Johor, memandangkan keupayaan perindustrian negeri dan kedudukan strategik di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka mewujudkan lebih banyak peluang dalam sektor bernilai tinggi, termasuk pembuatan termaju, aeroangkasa, peranti perubatan, kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan digital.
Bagaimanapun, bagi merealisasikan peluang ini, syarikat teknologi perlu bersedia dari segi komersial, berhubung dengan keperluan industri serta dilengkapi untuk mengakses pelaburan dan pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Mohammad Hazani Hassan berkata sebagai pemboleh daya teknologi di Malaysia, MTDC menyokong perkembangan syarikat teknologi daripada peringkat pembangunan kepada penerimaan dan pengembangan menerusi pembiayaan dan pemudahan pelaburan, khidmat nasihat perniagaan, sokongan pengkomersialan, pembangunan keupayaan dan perkongsian strategik.
Beliau berkata MTDC menghubungkan perusahaan berasaskan teknologi dengan sumber dan hubungan ekosistem diperlukan untuk menjadi lebih kompetitif dan mampan.
R2G 2026 Wilayah Selatan menterjemahkan peranan ini ke dalam platform serantau yang membolehkan perniagaan berinteraksi secara langsung dengan MTDC dan rakan kongsinya, memahami sokongan disediakan serta mengenal pasti peluang praktikal untuk pengkomersialan, pelaburan dan peluasan pasaran.
“Asas perindustrian Johor yang kukuh dan keterhubungan serantau yang semakin berkembang menghadirkan peluang besar untuk syarikat teknologi Malaysia, bagaimanapun, mengubah peluang ini menjadi pertumbuhan perniagaan mampan memerlukan lebih daripada sekadar teknologi. Syarikat juga mesti mempunyai akses kepada pasaran, pelaburan, rakan kongsi industri dan sokongan pengkomersialan yang betul.
“Melalui acara Road to Growth ini, MTDC membawa elemen-elemen ini bersama-sama dan menghubungkan perniagaan dengan ekosistem lebih luas yang diperlukan untuk maju daripada pembangunan teknologi ke arah kejayaan komersial dan skala, katanya ketika berucap pada acara R2G 2026 Wilayah Selatan di Hotel Impiana Senai, di sini hari ini.
Turut hadir pada acara itu ialah Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pelaburan IRDA, Rudyanto Azhar; Naib Presiden Eksekutif Bahagian Pelaburan-Perniagaan MTDC, Mohd Jerry Tan Mohd Safi; Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Ekosistem Teknologi MTDC, Dr Indera Shaiful Baharudin; Setiausaha Bahagian Pindahan Teknologi MOSTI, Boniface anak Edwin Manung; Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM, Profesor Madya Dr Noor Azurati Ahmad@Salleh; serta Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPEN), Nur Farah Izyan Mohamad Fadir.
Edisi R2G Wilayah Selatan merupakan susulan daripada acara R2G 2026 terdahulu, diadakan di Wilayah Tengah dan Sabah pada bulan Julai lepas.
Acara tersebut menampilkan sesi perkongsian yang melibatkan MTDC, IRDA, Bahargian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN) Johor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rakan kongsi ekosistem lain untuk meneliti landskap ekonomi dan inovasi Johor, pengkomersialan teknologi, peluang pelaburan, pembangunan bakat dan perkongsian strategik yang menyokong perusahaan didorong inovasi.
Komponen program lain merangkumi bengkel khas Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) menampilkan wakil daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MRANTI serta sebuah syarikat yang diiktiraf MySTI.
Selain perkongsian pengetahuan, R2G 2026 Wilayah Selatan membolehkan peserta berinteraksi secara langsung dengan pegawai MTDC dan rakan kongsi ekosistem mengenai keperluan perniagaan mereka serta meneroka potensi sokongan dalam pembiayaan dan kemudahan pelaburan, khidmat nasihat perniagaan, pembangunan keupayaan dan kolaborasi strategik.
Menerusi siri ini, MTDC memperluaskan akses kepada ekosistem pengkomersialan teknologi Malaysia sambil memperkukuh hubungan antara kerajaan, industri, akademia, pelabur dan syarikat teknologi di seluruh negara.
Dengan mempertemukan pihak berkepentingan ini di peringkat serantau, MTDC menyasarkan membina ekosistem yang berkembang pesat, iaitu teknologi Malaysia boleh mendapatkan perkongsian, pelaburan dan akses pasaran diperlukan untuk menyampaikan nilai ekonomi mampan.
-- BERNAMA