25 Syarikat Berminat Dapatkan Pembiayaan Di Bawah Dana Mitigasi Iklim Pulau Pinang - Chow
GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 25 syarikat telah menyatakan minat untuk mendapatkan pembiayaan di bawah Dana Mitigasi Iklim Pulau Pinang (Dana CM), dengan lima daripadanya sedang menjalani proses penilaian.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dana yang ditubuhkan di bawah Program Industri Hijau Pulau Pinang (PGIP) dengan kerjasama Alliance Bank itu mempunyai peruntukan awal sebanyak RM20 juta, terdiri RM5 juta daripada kerajaan negeri dan RM15 juta daripada bank, dengan potensi komitmen sehingga RM100 juta.
“Sebagai permulaan, saya dimaklumkan bahawa beberapa permohonan sedang diproses sekarang agar syarikat boleh mendapatkan dana untuk melaksanakan pelan tindakan penyesuaian yang diperlukan di kilang masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada acara R.A.C.E To Zero: Penang Edition, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari dan Presiden Persatuan Industri Tenaga Lestari dan Fotovoltaik Malaysia (MPSEA), Justin Sim.
Terdahulu menerusi ucapannya, Chow berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) yang layak boleh mengakses pembiayaan keutamaan sehingga RM500,000, disokong oleh geran, penilaian kemampanan dan khidmat nasihat pakar.
“Bersama-sama dengan Penang Green Council, program ini memberi laluan praktikal kepada pengeluar untuk menilai keperluan kemampanan mereka dan melaksanakan penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata peralihan ke arah tenaga bersih bukan lagi sekadar untuk melindungi alam sekitar tetapi semakin menjadi isu daya saing, terutamanya apabila syarikat global menetapkan sasaran karbon yang lebih kukuh dalam rantaian bekalan mereka.
Katanya, ini amat penting bagi Pulau Pinang yang mencatatkan eksport elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM436.9 bilion tahun lepas, menyumbang kira-kira 68 peratus daripada jumlah eksport E&E Malaysia.
“Syarikat masih melihat kepada bakat, infrastruktur, logistik dan kos. Mereka juga semakin kerap bertanya, ‘Dari manakah datangnya sumber elektrik anda?’
"Mereka mahukan akses kepada tenaga boleh baharu (TBB) dan pelepasan Skop 2 yang lebih rendah. Bagi pengeluar Pulau Pinang, tenaga bersih bukan lagi sekadar isu alam sekitar. Ia adalah isu daya saing,” katanya.
Chow berkata Rangka Kerja Tenaga Pulau Pinang, yang dilancarkan pada November 2024, menyasarkan pengurangan intensiti tenaga sebanyak 25 peratus dan peningkatan bahagian TBB dalam campuran tenaga negeri kepada sekurang-kurangnya 10 peratus menjelang 2030.
“Pulau Pinang kekurangan tanah, jadi solar atas bumbung adalah salah satu penyelesaian paling praktikal kami.
"Di bawah garis panduan bangunan baharu kami, bangunan komersial dan perindustrian baharu dijangka menggunakan sekurang-kurangnya 75 peratus daripada bahagian di bumbung mereka untuk panel solar atau memenuhi sasaran sumber TBB yang berkaitan mengikut kategori tarif TNB mereka,” katanya.
Chow berkata negeri itu juga sedang meneroka penyelesaian TBB yang lain dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengkaji pemasangan solar terapung di empangannya, manakala Silicon Island akan menggabungkan TBB ke dalam pembangunannya, termasuk Taman Teknologi Hijau yang disokong oleh penjanaan solar.
Katanya, kecekapan tenaga merupakan satu lagi komponen penting dalam peralihan ini dengan negeri itu memperkenalkan piawaian keamatan tenaga bagi membolehkan penggunaan tenaga diukur, ditanda aras dan ditambah baik selain menilai hartanah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk melihat potensi TBB dan kecekapan tenaganya.
“Bagi bangunan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang baharu dan layak, kami menyasarkan sekurang-kurangnya lima peratus daripada jumlah penggunaan tenaga datang daripada sumber boleh baharu manakala kemudahan kerajaan sedia ada digalakkan untuk berusaha ke arah sasaran yang sama,” katanya.
Chow berkata dasar dan program tenaga Pulau Pinang itu juga sejajar dengan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP) 2.0 kerajaan persekutuan, yang menyasarkan pengurangan 11.6 peratus dalam permintaan tenaga negara menjelang 2035.
Katanya, kerajaan persekutuan dan negeri perlu menggerakkan usaha yang sama ke arah mencapai tenaga yang lebih bersih, kecekapan lebih tinggi dan daya saing kukuh.
--BERNAMA