BERITA TERKINI   SUKMA 2026: Kontinjen Selangor sapu bersih dua emas menerusi acara bola keranjang 3x3 lelaki dan wanita | Anak syarikat milik penuh Gamuda Bhd di Australia, DT Infrastructure Pty Ltd peroleh dua kontrak EPC dengan nilai keseluruhan RM1.64 bilion | APMM akan terima tiga lagi helikopter AW189 pada Disember ini - Saifuddin Nasution | APMM dijangka terima sebuah kapal induk pada suku pertama tahun hadapan - Saifuddin Nasution | Nilai kerja sektor pembinaan meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM47.8 bilion pada suku kedua 2026, didorong aktiviti pertukangan khas, bangunan bukan kediaman - DOSM | 

Pembersihan Portfolio Kukuhkan Keupayaan TH Jana Pulangan Konsisten

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin dan Nur Aiman Najwa Dzamae

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada di landasan lebih baik untuk menjana pulangan antara empat hingga lima peratus atau lebih tinggi secara konsisten tanpa mengambil risiko yang berlebihan.

Menurut Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur Business School Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, proses pembersihan portfolio menjadikan pegangan aset TH lebih ringkas, berkualiti dan fokus, sekali gus membolehkan institusi itu menumpukan kepada aset patuh syariah berkualiti tinggi, hartanah dan infrastruktur serta pelaburan strategik antarabangsa.

Ad Banner

Beliau berkata pemulihan lembaran imbangan serta pemindahan aset tidak produktif kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) menjadi kunci kestabilan TH hari ini, selain mengukuhkan asas utama dalam memulihkan keyakinan pendeposit, kesolvenan dan keuntungan.

“Aset-aset bermasalah yang menjejaskan pulangan sudah dikeluarkan, membolehkan TH memfokuskan kepada tiga kelas aset yang utama. Pertama, aset patuh syariah berkualiti tinggi iaitu saham-saham syarikat serta sukuk kerajaan dan korporat gred tinggi.

“Kedua, pelaburan hartanah dan infrastruktur. Aset fizikal yang menjana sewa dan aliran tunai jangka panjang. Ini penting kerana selari dengan keperluan TH untuk menyediakan dana jangka panjang bagi membiayai kos menunaikan haji manakala yang ketiga, pelaburan strategik dan antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Aimi Zulhazmi berkata kepelbagaian dalam pasaran luar dapat membantu mengurangkan risiko selain membolehkan TH memanfaatkan peluang pertumbuhan yang stabil.

Menurutnya kecekapan sebenar portfolio dapat dinilai daripada dua sudut iaitu pulangan berasaskan risiko dan pematuhan syarikat atau pematuhan syariah yang kuat.

“Cabaran jangka panjang adalah untuk memastikan profesionalisme dalam pengurusan dana, kos operasi yang rendah dan tidak mengulangi lagi kesilapan iaitu pelaburan bukan teras,” kata Aimi Zulhazmi.

Sehubungan itu, katanya pengawasan luar yang bebas amat kritikal bagi memastikan risiko pelaburan terus dikawal.

“Bila lubang dalam lembaran imbangan itu sudah ditutup dan aset dinilai semula pada nilai pasaran semasa, ini memberikan dua isyarat penting kepada hampir 10 juta pendeposit TH.

“Apa isyaratnya? Pertama, TH kini lebih solven. Risiko kerugian besar akibat aset yang lapuk sudah berkurangan. Ini bermakna dana pendeposit lebih selamat.

“Kedua, agihan hibah yang lebih konsisten. Selepas penstrukturan, adalah bukti paling konkrit,” katanya.

-- BERNAMA