BERITA TERKINI   Gamuda Bhd peroleh projek pembinaan pusat data hiperskala bernilai RM1.71 bilion di Port Dickson daripada syarikat MNC AS | Sindiket edar dadah guna katrij vape tumpas, pelbagai jenis dadah bernilai RM10.68 juta dirampas - Polis Johor   | Dua lagi suspek ditahan termasuk dalang kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan dibungkus di sebuah sungai di Batu Pahat - Polis Johor | 

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari, Dipacu Saham Teknologi

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia diniagakan tinggi pada tengah hari dipacu minat belian baharu terhadap saham teknologi, sejajar prestasi kebanyakan pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 16.18 mata kepada 1,748.84 berbanding 1,732.66 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.70 mata lebih tinggi pada 1,736.36 sebelum bergerak dalam julat 1,732.68 hingga 1,750.41 sepanjang sesi dagangan pagi.

Ad Banner

Sentimen pasaran secara keseluruhan kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 606 berbanding 394, manakala 484 kaunter tidak berubah, 1,248 tidak diniagakan dan 12 digantung dagangan.

Jumlah dagangan mencecah 2.04 bilion unit bernilai RM1.83 bilion.

Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikannya berkata sektor teknologi dijangka terus menjadi tumpuan minggu ini di tengah-tengah prestasi bercampur-campur sektor semikonduktor serantau.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada masa sama, kaunter berkaitan tenaga dan pengangkutan berpotensi mendapat manfaat daripada penurunan harga minyak mentah susulan ketegangan yang semakin reda antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

"Selain itu, sektor perkhidmatan kewangan dijangka terus mendapat sokongan daripada sentimen pasaran yang semakin baik," katanya.

Dilaporkan Presiden AS Donald Trump juga mencadangkan larangan terhadap komponen pusat data dari China.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing meningkat 10 sen kepada RM10.88 dan RM14.60, manakala CIMB Group naik tiga sen kepada RM8.06. Public Bank menambah satu sen kepada RM5.27, sementara IHH Healthcare susut 11 sen kepada RM8.32.

Bagi saham aktif, NationGate Holdings meningkat lapan sen kepada RM1.37, Inari Amertron melonjak 18 sen kepada RM2.39, VS Industry naik satu sen kepada 24 sen, manakala Zetrix AI susut 1.5 sen kepada 72 sen dan HHRG turun 0.5 sen kepada 11 sen.

Antara kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries meningkat RM1.80 kepada RM48.58, Nestle naik 60 sen kepada RM102.40, Pentamaster Corporation menambah 40 sen kepada RM5.69, United Plantations meningkat 34 sen kepada RM34.38, manakala Vitrox Corporation naik 33 sen kepada RM9.08.

Bagi kaunter rugi utama, Fraser & Neave susut 50 sen kepada RM27.32, Petronas Chemicals turun 11 sen kepada RM4.54, manakala LPI Capital dan Petronas Dagangan masing-masing berkurangan 10 sen kepada RM15.00 dan RM19.60.

Indeks FBM Emas meningkat 111.76 mata kepada 12,921.08, Indeks FBM Top 100 melonjak 114.60 mata kepada 12,755.31, Indeks FBM Emas Shariah naik 138.68 mata kepada 12,761.19, Indeks FBM ACE menambah 30.75 mata kepada 5,048.19, manakala Indeks FBM Mid 70 meningkat 150.45 mata kepada 18,361.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 100.45 mata kepada 20,619.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.56 mata kepada 190.24, dan Indeks Perladangan menokok 115.86 mata kepada 9,493.17. Indeks Tenaga bagaimanapun susut 2.99 mata kepada 761.54.

-- BERNAMA