BERITA TERKINI   Op Fella: SPRM rakam keterangan bekas Pengerusi Felda Isa Samad di Penjara Sungai Buloh pada 17 Sept - KP SPRM | 

Jangkaan Harga Minyak Mentah Lebih Tinggi, Sokong Niaga Hadapan MSM Minggu Depan

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan, disokong oleh jangkaan harga minyak mentah yang lebih kukuh dalam persekitaran ketegangan geopolitik yang berterusan.

Pedagang kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) bergerak seiring dengan harga minyak mentah yang berpotensi meningkat lagi akibat ketegangan di Asia Barat.

Ad Banner

“Harga MSM dilihat mengikut pergerakan harga tenaga, dengan harga minyak mentah berpotensi meningkat disebabkan ketegangan di Asia Barat. Oleh itu, julat dagangan bagi niaga hadapan MSM pada minggu depan dijangka berada antara RM4,500 dan RM4,600 setan,” katanya kepada Bernama.

Teh berkata inventori minyak sawit Malaysia berada pada paras 2.8 juta tan pada bulan Ogos, antara paras tertinggi direkodkan tahun ini, ia mungkin mengehadkan kenaikan harga selanjutnya.

Mengenai permintaan fizikal, beliau berkata pembelian dijangka datang terutamanya dari India, Pakistan, China, Timur Tengah dan Kesatuan Eropah, dengan sedikit permintaan turut dijangka daripada Amerika Syarikat.

Ad Banner

Sementara itu, pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata pasaran berkemungkinan diniagakan tidak berubah minggu depan memandangkan ketiadaan petunjuk jelas sama ada aliran menaik atau menurun.

Beliau berkata kekurangan pemangkin pasaran berkemungkinan menyebabkan pedagang kekal berhati-hati dan mengehadkan pergerakan harga yang ketara.

“Kami menjangkakan harga pada minggu depan akan didagangkan antara RM4,850 dan RM5,000,” tambahnya.

Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak Oktober 2026 naik RM28 kepada RM4,698 satu tan metrik, manakala November susut RM14 kepada RM4,800 dan December merosot RM46 kepada RM4,898.

January 2027 berkurangan RM73 kepada RM4,983 setan, Februari menguncup RM94 kepada RM5,054, manakala Mac pada RM5,113.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 561,289 lot daripada 875,237 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 339,025 kontrak daripada 349,906 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi September Selatan naik RM30 kepada RM4,650 satu tan.

Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Rabu lepas sempena sambutan Hari Malaysia.

-- BERNAMA