Bursa Malaysia Dijangka Diniaga Berhati-hati Susulan Ketidaktentuan Global
Oleh Harizah Hanim Mohamed & Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Indeks pentunjuk pasaran Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan berhati-hati minggu depan, dengan sentimen pelabur dijangka dipengaruhi keputusan dasar Rizab Persekutuan (Fed) yang terkini, perkembangan di Asia Barat, harga minyak dan perubahan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata harga minyak yang tinggi dan ketidaktentuan geopolitik boleh mengekalkan jangkaan inflasi pada paras tinggi manakala perubahan jangkaan kadar faedah AS mungkin terus mempengaruhi hasil bon global, dolar AS dan aliran dana pasaran sedang pesat membangun.
“Oleh itu, kami menjangkakan kedudukan pelabur di Bursa Malaysia kekal defensif, dengan minat yang tinggi terhadap sektor yang menawarkan pendapatan lebih berdaya tahan serta mempunyai pendedahan kepada pasaran domestik atau komoditi.
“Ciri defensif pasaran mungkin memberikan sedikit perlindungan daripada kelemahan indeks saham serantau yang mempunyai pemberat tinggi dalam sektor teknologi, terutama sekiranya harga minyak yang tinggi terus memberikan tekanan kepada minat risiko global,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan indeks petunjuk pasaran kekal dalam fasa pengukuhan minggu depan, dengan peluang kepada lantunan teknikal sekiranya harga minyak dan hasil Perbendaharaan AS terus menurun.
“Pembetulan yang ketara telah menyebabkan penilaian terhadap nilai saham kepada paras lebih menarik sekali gus menggalakkan institusi tempatan dan pemburu saham pada harga rendah untuk membina semula kedudukan secara beransur-ansur dalam saham mewah terpilih.
“Bagaimanapun, jualan berterusan oleh pelabur asing, dolar AS yang kukuh dan jangkaan bahawa AS memperketat dasar monetari AS yang selanjutnya dijangka mengehadkan kenaikan,” katanya.
Sehubungan itu, Thong menjangkakan indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam julat 1,650 hingga 1,680 minggu depan, dengan pergerakan berterusan melepasi paras 1,675 hingga 1,680 adalah perlu untuk memulihkan momentum kenaikan yang kukuh.
Bagi minggu berakhir semalam, kadar faedah AS dinaikkan buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga tahun kepada 3.75 peratus hingga empat peratus, daripada 3.5 peratus hingga 3.75 peratus manakala Bank of Japan menaikkan kadar dasar kepada 1.25 peratus pada Jumaat, paras tertinggi dalam tempoh 31 tahun.
Minyak mentah Brent yang ditutup pada US$105.68 setong pada Isnin menyusut 1.93 peratus kepada US$102.80 setong setakat 6.50 petang pada Jumaat.
Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 21.18 mata kepada 1,665.56 semasa ditutup semalam daripada 1,686.74 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 98.48 mata kepada 12,411.72, Indeks FBM Top 100 susut 95.27 mata kepada 12,211.37, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 84.82 mata kepada 12,311.99 dan Indeks FBM ACE merosot 15.63 mata kepada 5,244.60 manakala Indeks FBM Mid 70 meningkat 115.38 mata kepada 17,844.02.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 6.19 mata kepada 820.62 dan Indeks Perladangan naik 60.42 mata kepada 9,496.44. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula turun 3.54 mata kepada 185.24 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 209.58 mata kepada 19,412.63.
Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 15.02 bilion unit bernilai RM14.18 bilion daripada 18.97 bilion unit bernilai RM15.53 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 9.38 bilion unit bernilai RM12.93 bilion daripada 11.62 bilion unit bernilai RM13.89 bilion.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.61 bilion unit bernilai RM498.33 juta daripada 4.40 bilion unit bernilai RM624.83 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 2.02 bilion unit bernilai RM748.59 juta berbanding 2.93 bilion unit bernilai RM1.00 bilion pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA