Pelaburan Syariah Semakin Diterima Ketika AI Bentuk Semula Landskap Pelaburan
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Pelaburan syariah semakin diterima apabila teknologi digital mengubah cara keputusan pelaburan dibuat manakala kecerdasan buatan (AI) mengubah segalanya daripada penyelidikan dan pembinaan portfolio kepada pengurusan risiko serta pelaksanaan dagangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Fad'l Mohamed berkata di sebalik perubahan yang belum pernah berlaku sebelum ini, satu perkara tetap tidak berubah iaitu keperluan terhadap kepercayaan.
"Pasaran mungkin menjadi lebih pantas, lebih terhubung dan lebih canggih, namun modal pada akhirnya tetap mencari asas yang sama iaitu ketelusan, akauntabiliti dan penciptaan nilai jangka panjang," katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Invest Syariah 2026 di sini hari ini.
Bertemakan "Pelaburan Beretika dalam Dunia Digital dan Ketidaktentuan", persidangan itu dianjurkan secara bersama oleh Bursa Malaysia dan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.
Fad'l berkata, prinsip-prinsip yang menjadi tunjang pelaburan syariah iaitu keadilan, aktiviti ekonomi sebenar, ketelusan, pengambilan risiko secara berhemah serta tadbir urus yang bertanggungjawab, sangat bertepatan dengan kehendak pelabur yang menginginkan daya tahan dan kemampanan dalam dunia yang semakin tidak menentu.
Beliau berkata pasaran modal Islam Malaysia mencatat nilai RM2.75 trilion pada 2025 mewakili hampir dua pertiga daripada keseluruhan pasaran modal negara.
"Kira-kira 81 peratus daripada syarikat tersenarai kami adalah patuh syariah manakala dagangan sekuriti patuh syariah menyumbang sebanyak 69 peratus daripada purata nilai dagangan Bursa Malaysia," katanya.
Malaysia juga mengukuhkan kedudukannya sebagai pasaran sukuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terbesar di dunia dengan memegang 31.6 peratus syer daripada keseluruhan sukuk ESG global yang belum matang setakat 30 Jun, 2026.
"Skala ini memberi Malaysia asas yang kukuh untuk memajukan lagi pelaburan syariah sebagai daya pemacu utama bagi pembangunan ekonomi, inovasi dan kemampanan.
"Mendasari hala tuju ini ialah Maqasid Syariah iaitu gagasan bahawa modal bukan sahaja perlu memberi pulangan kewangan, tetapi turut menyumbang kepada kebaikan ekonomi dan sosial yang lebih luas," katanya.
Menyuarakan pandangan serupa, Ketua Pegawai Eksekutif CGS International Securities Malaysia Khairi Shahrin Arief Baki berkata ketegangan geopolitik, inflasi dan perubahan dalam keadaan monetari sedang membentuk semula prospek merentasi pelbagai pasaran serta kelas aset.
"Dalam persekitaran ini, pelabur perlu melihat melangkaui pergerakan harga jangka pendek dan mempertimbangkan sama ada pulangan yang dijangkakan disokong oleh asas-asas yang kukuh," katanya.
Khairi memberitahu, prinsip-prinsip etika tidak menggantikan analisis kewangan sebaliknya mengukuhkannya lagi dengan mengekalkan tumpuan kepada ketelusan, akauntabiliti dan nilai jangka panjang.
"Pada masa yang sama, teknologi mengubah kepantasan dan skala tindakan pelabur. Platform digital memudahkan maklumat pelaburan diperoleh selain menjadikan urus niaga lebih mudah dan lancar.
"Ini boleh menyokong penyertaan yang lebih meluas, namun soalan yang lebih penting adalah sama ada teknologi membantu pelabur membuat keputusan pelaburan yang lebih bermaklumat dan lebih sesuai," tambahnya.
-- BERNAMA