BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

Unit SNS Network Raih Kontrak Pembekalan Pelayan AI Bernilai RM1.21 Bilion

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh SNS Network Technology Bhd, SNS Network (M) Sdn Bhd meraih perjanjian jualan bernilai US$298.65 juta (RM1.21 bilion) untuk membekalkan pelayan kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi kepada syarikat hiburan digital global beribu pejabat di Singapura.

Menurut SNS dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perjanjian yang dimeterai pada 26 Julai 2026 itu merangkumi aspek membekal, menghantar dan menyerahkan pelayan AI kepada pembeli yang diperbadankan di Singapura.

SNS memaklumkan cadangan pembekalan itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan itu apabila produk berkenaan dihantar dan hasil jualan diiktiraf, berdasarkan jadual penghantaran serta pembayaran secara berperingkat di bawah perjanjian itu.

Ad Banner

Menurutnya impak kewangan sebenar antaranya bergantung kepada tempoh penghantaran yang disahkan oleh pengeluar serta pengiktirafan hasil yang berkaitan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan SNS Ko Yun Hung berkata kontrak itu membuktikan kemampuan kumpulan yang semakin mantap dalam menyediakan infrastruktur AI berskala perusahaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai rakan teknologi yang dipercayai di rantau ini.

Beliau berkata kontrak itu adalah kontrak terbesar yang pernah diraih SNS Network dalam sejarah syarikat itu sekali gus menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan kumpulan berkenaan.

Ad Banner

"Kontrak berkenaan mencerminkan kemampuan kami yang terbukti dalam menyediakan infrastruktur AI bertaraf perusahaan pada skala besar serta memaparkan keyakinan pelanggan terhadap kepakaran teknikal, kemampuan pelaksanaan dan kerjasama jangka panjang kami dengan syarikat peneraju teknologi global.

"Seiring penerimagunaan AI yang meningkat merangkumi pelbagai industri, permintaan terhadap infrastruktur pengkomputeran berprestasi tinggi terus berkembang," katanya.

Menurut syarikat, kontrak berkenaan mengukuhkan lagi tumpuan strategik SNS Network terhadap pembangunan infrastruktur AI serta mencerminkan pelaburan berterusan kumpulan dalam memperluas kemampuan AI.

-- BERNAMA