BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

Pusat Perubatan Sunway Iskandar Puteri Penuhi Keperluan Penjagaan Kesihatan Serantau

ISKANDAR PUTERI, 18 Sept (Bernama) -- Sunway Healthcare Group (SHG) hari ini mengadakan majlis pecah tanah Pusat Perubatan Sunway Iskandar Puteri (SMCIP), iaitu hospital pertamanya di selatan Malaysia, yang melibatkan jumlah perbelanjaan modal sebanyak RM800 juta. 

Hospital tertier yang dijangka siap pada 2030 dan terletak di Sunway City Iskandar Puteri itu bakal dilengkapi dengan pelbagai kepakaran tercanggih, selain menyediakan kapasiti lebih 400 katil. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata projek itu mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan di Johor dan menyokong usaha kerajaan negeri untuk mengukuhkan ekosistem penjagaan kesihatan. 

Ad Banner

Beliau berkata kemudahan itu yang secara strategiknya terletak berhampiran dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang sedang dalam pembinaan, sekali gus menyokong pertumbuhan populasi Johor serta pembangunannya sebagai hab serantau bagi perdagangan, industri, penjagaan kesihatan dan pelancongan perubatan. 

“Iskandar Puteri mempunyai hubungan yang kukuh dengan Singapura, populasi yang semakin meningkat, pangkalan perniagaan dan profesional berkemahiran yang semakin berkembang. 

“Dengan adanya, pusat perubatan moden di sini ia boleh menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Johor, di samping memenuhi permintaan rentas sempadan dan serantau,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah SMCIP di sini hari ini. 

Ad Banner

Lee menambah bahawa SMCIP, yang dijangka menyokong kira-kira 1,400 profesional penjagaan kesihatan, akan mewujudkan peluang pekerjaan bukan sahaja untuk doktor dan jururawat tetapi juga profesional kesihatan bersekutu, juruteknik, pentadbir dan mereka yang terlibat dalam pembekalan dan profesional. 

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata hospital itu direka bentuk bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan pakar yang komprehensif, disokong oleh teknologi perubatan termaju dan kemudahan rawatan yang berpusatkan pesakit. 

Beliau berkata ini termasuk Pusat Perubatan Kanser dan Nuklear bersepadu yang menawarkan perkhidmatan radioterapi dan perubatan nuklear.

Ia turut memberi tumpuan kepada kepakaran utama seperti Kardiovaskular, Onkologi, Neurosains, Gastroenterologi dan Hepatologi, Ortopedik serta Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak.

Cheah menambah bahawa Sunway sentiasa percaya dengan potensi besar Johor, kerana penjagaan kesihatan yang berkualiti adalah penting untuk mengekalkan pertumbuhan negeri.

“Perniagaan memilih untuk melabur di mana orang ramai boleh membina kehidupan yang selamat dan memuaskan, manakala keluarga pula meletakkan kepercayaan di mana mereka boleh memperoleh penjagaan perubatan yang berkualiti.

“Kami berharap dapat membina sebuah institusi perubatan yang dipercayai mampu memberikan perkhidmatan kepada Johor dan rantau yang lebih meluas bagi generasi akan datang,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Sunway Healthcare Group Datuk Lau Beng Long berkata SMCIP akan menjadi lebih daripada sekadar hospital kerana ia turut menyokong kesihatan dan kesejahteraan masyarakat di sekitarnya. 

“Majlis pecah tanah ini menandakan langkah penting ke arah merealisasikan visi kami bagi SMCIP sebagai peneraju penjagaan kesihatan ekosistem bersepadu ini. 

“Hospital ini akan membolehkan kami membawa kepakaran klinikal, model penjagaan bersepadu, dan komitmen kami terhadap perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat di seluruh selatan Malaysia, serta pesakit antarabangsa dari Indonesia dan Singapura,” katanya. 

Dalam pada itu, SMCIP akan menjadi sebahagian daripada Sunway City Iskandar Puteri, iaitu sebuah perbandaran bersepadu dan rancak dengan keluasan 809 hektar yang menampilkan komponen pendidikan, hospitaliti, hiburan, runcit, komersial dan kediaman.

Apabila siap, perbandaran itu dijangka memberi perkhidmatan kepada komuniti yang mempunyai lebih 250,000 penduduk.

-- BERNAMA