CGC Digital, Credit Bureau Malaysia Meterai MoU Bantu PMKS Perbaiki Kedudukan Kredit

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- CGC Digital dan Credit Bureau Malaysia (CBM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membantu lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memahami kedudukan kredit mereka, sekali gus meningkatkan akses kepada pembiayaan. 

Anak syarikat teknologi kewangan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa kerjasama tersebut menggabungkan platform digital dan rangkaian PMKSnya dengan kepakaran dimiliki CBM dalam maklumat kredit serta analisis risiko.

“CGC Digital dan CBM akan meneroka pembangunan model risiko kredit serta penyelesaian analitikal agar lebih memahami keperluan PMKS dan mengukuhkan proses membuat keputusan merentasi ekosistem pembiayaan. 

Ad Banner

“Kerjasama ini juga akan meneroka inisiatif pendidikan dan khidmat bantuan bersama. Ia akan menggunakan rangkaian kedua-dua organisasi untuk mencapai kumpulan pemilik perniagaan dengan lebih meluas dan meningkatkan kesedaran mengenai sokongan pembiayaan serta maklumat kredit yang disediakan untuk mereka,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital Yushida Husin berkata bagi PMKS yang berhadapan cabaran untuk mengakses pembiayaan, mereka perlu memahami kedudukan kredit sendiri dan mengenal pasti sokongan pembiayaan yang paling sesuai. 

“Dengan menggabungkan pandangan kredit CBM dengan capaian platform digital kami, kami boleh membantu lebih ramai pemilik perniagaan melihat dengan jelas kedudukan mereka, sekali gus membantu mengambil langkah yang bersesuaian,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif CBM Soo Chin Kang pula berkata kerjasama itu mencerminkan cita-cita bersama kedua-dua organisasi bagi mengukuhkan bidang keusahawanan, memanfaatkan nilai ekonomi dengan lebih baik dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia agar lebih inklusif dan berdaya tahan.

Menurut CGC Digital kerjasama itu juga menandakan satu lagi langkah dalam memperkukuh ekosistem pembiayaan digitalnya menerusi perkongsian strategik.

Pada masa sama, ia turut mengesahkan semula komitmennya untuk menyokong segmen PMKS yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan dengan memperkukuh akses kepada pembiayaan untuk membantu perniagaan Malaysia membuat keputusan dengan lebih baik. 

-- BERNAMA