BERITA TERKINI   Piala FA: KL City FC 0-0 Perak FC (agregat 1-0) | Piala FA: DPMM 2-3 Terengganu FC | UMNO sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kelangsungan perjuangan bangsa, agama - Mohamad | Piala FA: Penang FC 2-1 Melaka FC (agregat 3-1) | Malaysia tawar bantuan tangani kebakaran hutan dan tanah Indonesia termasuk operasi ‘water bombing’ dan pembenihan awan - Arthur | 
Ad Banner

Minyak Mentah Brent Lepasi Paras US$100 Setong Ekoran Peningkatan Konflik AS-Iran

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Minyak mentah Brent melepasi paras US$100 setong buat kali pertama sejak Julai 2026 apabila peningkatan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran, termasuk serangan ke atas kapal tangki minyak dan loji tenaga Arab Saudi, mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan. 

Hari ini harga minyak mentah Brent melonjak 2.72 peratus kepada US$100.60 setong. 

Ad Banner

Ahli strategi global Quintex Intel Stephen Innes berkata situasi ini dijangka terus kekal tidak menentu dan pasaran perlu bersedia untuk berdepan kemungkinan harga minyak tinggi yang berterusan sehingga 2027.

"Harga sekitar US$100 setong bagi Brent adalah munasabah sepanjang bulan depan memandangkan konflik itu dijangka berlanjutan tanpa sebarang penyelesaian.

“Gangguan pengeluaran minyak Arab Saudi yang serius, serangan berterusan ke atas kapal tangki minyak atau penutupan Selat Hormuz yang lebih lama boleh menyebabkan minyak Brent terus melonjak melebihi US$100," katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner

Pada 8 September, Kumpulan Houthi Yaman yang disokong Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas kemudahan Saudi Aramco di Abha, Najran dan Jazan, yang mencetuskan kebakaran dan memaksa operasi di beberapa kemudahan tenaga dihentikan.

Pada hari yang sama, tentera AS memusnahkan lima kapal tangki minyak mentah Iran sebagai tindak balas terhadap percubaan serangan peluru berpandu balistik ke atas kapal perang tentera laut AS.

Bagaimanapun Innes berkata walaupun bekalan pasaran fizikal yang terhad, namun ia belum lagi menandakan kekurangan minyak mentah sepenuhnya. 

Katanya, setakat ini paras Brent kira-kira 65 peratus lebih tinggi, menggunakan penyelesaian niaga hadapan pertama 2026 sebagai titik perbandingan US$60.75 setong bagi minyak mentah Brent pada 2 Januari 2026.

Beliau berkata harga minyak melepasi paras US$100 setong yang berterusan akan meningkatkan lagi inflasi global dan menjadikan bank pusat lebih berhati-hati dalam melonggarkan dasar, terutamanya di negara pengimport tenaga.

Namun begitu, katanya, situasi ketika ini tidaklah seteruk seperti kejutan minyak yang dialami dunia pada tahun 1990-an, memandangkan ekonomi sekarang kurang berintensifkan minyak dan ditambah dengan penggunaan meluas kenderaan elektrik (EV) serta peralihan tenaga yang telah mengurangkan kesan langsung harga minyak mentah ke atas aktiviti ekonomi.

"Kesan inflasi masih besar, tetapi mungkin tidak seteruk berbanding situasi sebelum ini," katanya.

Bagi Malaysia, katanya, harga minyak tinggi membawa impak yang baik dan juga negatif yang mana hasil petroleum lebih tinggi bermakna pendapatan berkaitan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan potensi penerimaan eksport yang lebih kukuh, seterusnya memberikan sokongan kepada pendapatan negara.

Justeru, beliau berkata Malaysia berada di kedudukan yang lebih baik berbanding kebanyakan pengimport minyak Asia lain, namun manfaat daripada pengeluaran tinggi akan diimbangi oleh inflasi dan kos tinggi yang terpaksa dihadapi isirumah dan perniagaan. 

-- BERNAMA