AME REIT Beli Tanah Perindustrian Di Johor Bernilai RM50.2 Juta

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) membeli tiga lot tanah perindustrian pegangan bebas yang masih kosong dengan keluasan keseluruhan 3.59 hektar di i-Park @ Senai Airport City, Johor, bernilai RM50.2 juta, merupakan pembelian pertama melibatkan pihak ketiga sejak penyenaraiannya.

Menurut AME REIT dalam kenyataan hari ini, RHB Trustees Bhd, yang bertindak bagi pihaknya, telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) untuk cadangan pembelian tersebut.

Bagaimanapun, AME REIT tidak mendedahkan identiti vendor yang menjual tanah tersebut kepadanya. 

Ad Banner

Urus niaga itu merupakan pembelian pertama AME REIT melibatkan pihak ketiga sejak penyenaraiannya selepas pengambilalihan aset bernilai RM289.5 juta yang telah selesai daripada penajanya, AME Elite Consortium Bhd.

“Pelaburan ini memperkukuh kedudukan AME REIT dalam hab perindustrian strategik apabila hartanah i-Park@SAC kini membentuk 48.6 peratus daripada portfolionya berdasarkan nilai.

“Pengembangan AME REIT dalam taman perindustrian yang telah berkembang memanfaatkan skala operasi yang kukuh dan pengetahuan luas mengenai pasaran, dengan lot tanah baharu itu terletak bersebelahan syarikat pembuatan dan logistik multinasional,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Chan Wai Leo, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn Bhd, syarikat pengurusan AME REIT berkata memperluas operasi REIT dalam i-Park @ Senai Airport City akan membolehkannya memanfaatkan kepakaran dan keupayaan pelaksanaannya yang baik untuk memacu pengembangannya.

“Urus niaga ini juga mempelbagaikan saluran pelaburan kami, memperkukuh daya tahan portfolio dan komitmen kami untuk menjana pendapatan yang mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang unit,” katanya.

-- BERNAMA