Pengukuhan Ringgit Cerminan Asas Ekonomi Kukuh

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pengukuhan nilai ringgit kepada RM4.0905 pada 20 Julai lepas mencerminkan asas ekonomi yang kukuh, disokong oleh prestasi eksport berdaya tahan dan lebihan imbangan perdagangan yang berterusan, menurut Kementerian Ekonomi. 

Kementerian itu memaklumkan pengukuhan itu juga disokong oleh permintaan luar terhadap barangan dan perkhidmatan Malaysia yang kekal tinggi. 

“Nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 9.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada RM4.4785 pada 2 Jan 2025 kepada RM4.0905 pada 20 Julai lepas. Ringgit juga mencatat prestasi lebih baik berbanding beberapa mata wang negara ASEAN seperti rupiah (Indonesia), baht (Thailand), peso (Filipina) dan dolar Singapura.

Ad Banner

“Walaupun terdapat volatiliti dalam kadar pertukaran mata wang ringgit, daya saing eksport negara tidak terjejas dengan ketara,” menurutnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen semalam. 

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai kesan pengukuhan ringgit terhadap eksport dan imbangan dagangan negara. 

Menurut Kementerian Ekonomi, perdagangan Malaysia kekal stabil berdasarkan kedudukan akaun semasa imbangan pembayaran (CAB) yang terus mencatat lebihan sejak 1998, didorong terutamanya oleh lebihan perdagangan barangan yang berterusan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sebagai contoh, ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berada pada paras yang lebih baik (RM3.3333) pada 2008 berbanding 2025 (RM4.2844), namun prestasi CAB pada 2008 (RM131.4 bilion) merupakan pencapaian yang tertinggi dalam sejarah,” menurutnya.

Kementerian itu memaklumkan momentum positif dalam imbangan dagangan negara kekal berterusan hingga kini. 

“Kedudukan perdagangan semasa terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah eksport meningkat sebanyak 27.5 peratus kepada RM971.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 berbanding RM761.8 bilion pada tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhan, imbangan perdagangan meningkat sebanyak 159.8 peratus kepada RM147.1 bilion bagi tempoh yang sama, menunjukkan kedudukan perdagangan negara yang kekal kukuh,” menurutnya. 

Kementerian itu memaklumkan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan akan memberi penekanan kepada meningkatkan kerencaman ekonomi, mempergiat penglibatan Malaysia pada peringkat antarabangsa, memperluas jaringan perdagangan global di pasaran baharu dan memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan dagang sedia ada dan ekonomi serantau. 

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan prestasi eksport dan lebihan perdagangan Malaysia dapat dikekalkan secara mampan.

“Kesimpulannya, pengukuhan ringgit tidak memberi kesan secara langsung kepada prestasi eksport dan imbangan perdagangan negara walaupun secara teorinya, pengukuhan ringgit akan menyebabkan harga eksport meningkat dan harga import menjadi lebih murah.

“Pelaksanaan kesemua inisiatif dan langkah strategik yang dinyatakan dijangka dapat menyokong usaha mengekalkan lebihan dagangan dan seterusnya mencapai sasaran pertumbuhan eksport sebanyak 5.8 peratus setahun dalam tempoh RMK13,” menurut Kementerian Ekonomi. 

-- BERNAMA