Maybank, CGIF Meterai MoU Perkukuh Pasaran Modal Mata Wang Tempatan ASEAN+3
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Credit Guarantee and Investment Facility (CGIF) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh serta memperluas pembangunan pasaran modal mata wang tempatan di rantau ASEAN+3 yang merangkumi Asia Tenggara, China, Jepun dan Korea Selatan.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak memaklumkan kerjasama itu akan menggabungkan rangkaian serantau serta kepakaran Maybank dengan keupayaan CGIF dalam penyediaan sokongan peningkatan kredit (credit enhancement).
Menerusi kerjasama itu, Maybank dan CGIF akan membangunkan instrumen pasaran modal termasuk bon digital dan penyelesaian kewangan Islam, menggalakkan pembiayaan mampan serta pembiayaan peralihan (transition finance), selain menyokong pembiayaan bagi inisiatif peralihan tenaga, ekonomi digital dan infrastruktur digital.
Kerjasama itu turut meliputi usaha membina kapasiti pasaran serta membantu penerbit mendapatkan akses kepada sumber pembiayaan yang lebih pelbagai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global Maybank Datuk John Chong berkata kerjasama berkenaan memperkukuh hubungan strategik antara Maybank dan CGIF yang sebelum ini terbabit dalam beberapa urus niaga bon dan sukuk utama di Malaysia, Vietnam, Thailand serta Hong Kong.
Beliau berkata dengan Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank bertindak sebagai pengatur dan pengurus utama, manakala CGIF sebagai penyedia jaminan, kerjasama itu memanfaatkan rekod prestasi kukuh kedua-dua pihak serta memperkukuh kedudukan Maybank dalam pasaran modal serantau.
"Ketika pelaburan langsung asing (FDI) ke Asia terus berkembang, kami melihat peluang besar untuk membangunkan penyelesaian pembiayaan inovatif, memperdalam pasaran modal tempatan serta membantu syarikat mengakses sumber pembiayaan yang lebih pelbagai bagi menyokong pertumbuhan mereka," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGIF Noriko Nasu berkata pasaran bon mata wang tempatan yang kukuh dan berdaya tahan amat penting dalam membiayai keutamaan pembangunan jangka panjang Asia.
Beliau berkata kerjasama dengan Maybank menggabungkan kepakaran saling melengkapi bagi memperluas akses kepada modal, merangsang pelaburan sektor swasta serta mempercepat penyelesaian pembiayaan inovatif di rantau ASEAN+3.
"Kami berharap dapat bekerjasama bagi menyokong pembangunan infrastruktur mampan, mempercepat peralihan tenaga serta menyumbang kepada pasaran modal serantau yang lebih kukuh dan bersepadu," katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan Maybank menaikkan unjuran terbitan sekuriti hutang swasta (PDS) bagi tahun penuh 2026 kepada RM160 bilion hingga RM170 bilion, berbanding RM150 bilion sebelum ini, susulan prestasi kukuh pada separuh pertama tahun ini yang disokong saluran terbitan yang sihat, asas makroekonomi berdaya tahan serta keadaan pembiayaan domestik yang menggalakkan.
-- BERNAMA