Entiti Eksport Baharu Indonesia Dijangka Beri Impak Kecil Terhadap Ekonomi -- RHB IB

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 23 Julai (Bernama) -- Entiti eksport Indonesia yang baharu diwujudkan, Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI) dijangka memberi impak terhad terhadap pasaran ekonomi dan eksport komoditi negara itu, sekali gus meredakan kebimbangan terhadap perubahan besar ke atas eksport komoditi yang strategik.

RHB Investment Bank (RHB IB) menyatakan dalam senario atau jangkaannya, DSI pada peringkat awal akan berperanan sebagai platform tadbir urus bagi eksport komoditi strategik dan bukan sebagai peserta komersial yang aktif yang memberi implikasi makroekonomi terhad bagi tempoh terdekat.

Ad Banner

“Senario ini turut memaparkan kesan paling seimbang untuk semua pihak berkepentingan dan membolehkan kerajaan memantapkan lagi aspek tadbir urus manakala pengeksport swasta, pembeli asing, institusi kewangan dan pelabur dapat terus beroperasi dalam persekitaran komersial yang secara umumnya kekal seperti sedia ada," menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Sejajar penilaian itu, RHB IB mengekalkan unjurannya bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia pada 5.0 peratus bagi 2026 dan 5.1 peratus bagi 2027 manakala inflasi masing-masing pada 2.8 peratus dan 2.7 peratus.

Bank pelaburan itu turut menjangkakan Bank Indonesia mengekalkan kadar dasar utama atau penanda aras pada 6.0 peratus sepanjang tempoh 2026 hingga 2027.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

DSI yang ditubuhkan di bawah Peraturan Kerajaan No. 24 Tahun 2026 dan berkuat kuasa pada 1 Jun lepas, merupakan syarikat milik kerajaan dan entiti eksport bagi komoditi sumber asli strategik Indonesia.

Penubuhan itu turut mewujudkan satu mekanisme institusi khusus bagi membolehkan kerajaan mengambil bahagian dalam tadbir urus eksport komoditi terpilih.

Ini memberi mandat kepada DSI untuk menyertai urus niaga eksport yang ditetapkan sama ada sebagai pemilik komoditi dieksport atau sebagai perantara bagi pembekal domestik dan pembeli luar negara.

Namun setakat ini, peraturan pelaksanaannya, termasuk senarai komoditi terbabit dan prosedur operasi masih belum dimuktamadkan.

RHB IB turut memaklumkan 10 kumpulan produk eksport terbesar Indonesia menyumbang kira-kira dua pertiga daripada jumlah eksport negara itu yang membuktikan kepentingan komoditi strategik seperti arang batu, minyak sawit dan nikel yang berkemungkinan diletakkan di bawah kerangka tadbir urus DSI di masa depan.

Bank pelaburan itu juga menyifatkan penglibatan kerajaan secara meluas dalam eksport komoditi strategik berpotensi mengukuhkan ketelusan, pandangan bagi masa depan serta menyuntik pulangan bagi negara itu untuk jangka panjang.

Pada masa sama, ini membolehkan kerajaan memainkan peranan lebih aktif dalam pengurusan eksport sumber asli strategik Indonesia.

Bagaimanapun, RHB IB menekankan kepentingan pendekatan lebih bercirikan intervensi atau campur tangan dapat mengurangkan fleksibiliti komersial bagi pengeksport swasta, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan lebih ketara bagi pembeli asing atau luar negara serta institusi kewangan.

Selain itu, ini juga boleh mendorong pelabur menuntut premium risiko lebih tinggi sehingga kerangka operasi DSI menjadi lebih jelas.

Bank pelaburan itu juga berpendapat, kepentingan ekonomi jangka panjang DSI bukan setakat bergantung kepada kuasa perundangan di bawah Peraturan Kerajaan No. 24 Tahun 2026 berkenaan, tetapi lebih kepada peraturan pelaksanaan di masa depan serta bagaimana peranan operasinya berkembang dari segi amalan berkaitan.

-- BERNAMA