Demam Piala Dunia Bakal Suntik Hingga RM2.1 Bilion Kepada Sektor F&B Malaysia - Pakar Ekonomi
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Demam bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026 berupaya menyuntik antara RM1.2 bilion hingga RM2.1 bilion terutamanya dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia, menurut seorang pakar ekonomi.
Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata ini kerana para peminat akan berkumpul di kedai mamak, kafe dan restoran untuk menonton perlawanan secara langsung.
Beliau berkata Piala Dunia bertindak sebagai rangsangan ekonomi berfrekuensi tinggi yang mengubah corak perbelanjaan pengguna untuk sementara waktu dan merancakkan aktiviti perniagaan merentas beberapa sektor.
“Piala Dunia FIFA sememangnya menjana aktiviti ekonomi yang bermakna, tetapi bersifat sementara di Malaysia. Ia merangsang perbelanjaan berbanding pelaburan dengan manfaatnya tertumpu kepada sektor-sektor khusus, terutamanya sektor F&B, peruncitan dan media,” katanya kepada Bernama.
Menyifatkan kejohanan itu sebagai rantaian ‘pesta perbelanjaan mini’ menjelang hari perlawanan, Barjoyai berkata perniagaan yang mampu menarik orang ramai dan mewujudkan pengalaman menonton secara komuniti bakal meraih manfaat yang paling besar.
Secara umumnya, Industri F&B Malaysia bernilai sekitar RM10 bilion hingga RM12 bilion sebulan dan boleh mencatatkan lonjakan hasil berdasarkan andaian yang paling asas kira-kira 12 peratus, sekali gus menjana tambahan RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion sepanjang tempoh kejohanan itu.
Jika berjaya mendapatkan penglibatan tinggi seperti jumlah tontonan yang besar dan inisiatif pemasaran yang berkesan, purata lonjakan boleh meningkat kepada 18 peratus, yang diterjemahkan kepada tambahan hasil sebanyak RM1.8 bilion hingga RM2.1 bilion.
Lonjakan itu dijangka bertumpu kepada ekonomi lewat malam antara 9 malam hingga 3 pagi, dipacu terutamanya oleh trafik pelanggan yang lebih tinggi.
“Kira-kira 40 peratus daripada perbelanjaan tambahan itu berpunca daripada aktiviti makan lewat malam, diikuti oleh perhimpunan berkumpulan sebanyak 30 peratus, permintaan penghantaran makanan sebanyak 20 peratus dan promosi berasaskan acara sebanyak 10 peratus,” kata pakar ekonomi itu.
Barjoyai berkata kedai mamak dan pengusaha restoran kasual berpotensi mencatatkan pertumbuhan hasil antara 15 hingga 30 peratus sepanjang kejohanan itu berikutan peningkatan kunjungan lewat malam dan aktiviti makan berkumpulan, manakala platform penghantaran makanan boleh menyaksikan pertumbuhan antara 15 hingga 35 peratus, disokong oleh tabiat menonton di rumah.
Beliau menambah restoran yang menyediakan perkhidmatan secara pantas (QSR) dan pengusaha makanan segera mungkin mencatatkan peningkatan hasil antara 10 hingga 20 peratus disebabkan permintaan penghantaran yang lebih kuat.
Bagi kafe pula, ia dijangka merekodkan pertumbuhan lebih sederhana antara lima hingga 15 peratus memandangkan premis berkenaan secara amnya kurang menyiarkan perlawanan Piala Dunia berbanding segmen F&B yang lain.
Walaupun kejohanan itu dianjurkan oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat, kegilaan sukan bola sepak di Malaysia dijangka memacu jumlah tontonan yang tinggi dan perbelanjaan pengguna sepanjang berlangsungnya pertandingan itu selama sebulan.
Dalam hal ini, mengambil contoh Di Rawang, Selangor, BCH Cafe merupakan antara premis makan kasual yang menjangkakan peningkatan kunjungan pelanggan sepanjang berlangsungnya kejohanan itu.
Pemiliknya, Azlan Mat berkata penganjuran Piala Dunia sebelum ini secara konsisten telah menghasilkan kehadiran pelanggan dan perbelanjaan yang lebih tinggi di premisnya apabila menayangkan perlawanan menggunakan skrin besar untuk menarik peminat bola sepak.
“Pelanggan biasanya datang berkumpulan dan berada di sini sepanjang tempoh perlawanan. Mereka cenderung memesan makanan dan minuman beberapa kali sepanjang perlawanan berlangsung, jadi perbelanjaan bagi setiap meja secara amnya adalah lebih tinggi berbanding hari biasa,” tambahnya.
Tanpa mendedahkan angka sebenar, Azlan menganggarkan hasil kafe berkenaan boleh meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus sepanjang Piala Dunia, disokong oleh peningkatan trafik pelanggan dan waktu operasi yang lebih lama.
“Bagi kami (pemilik restoran), Piala Dunia bukan sekadar bola sepak. Ia menjadi satu peluang perniagaan yang membolehkan kafe seperti kami menarik pelanggan baharu dan menjana pendapatan tambahan selama beberapa minggu,” katanya.
Piala Dunia FIFA edisi ke-23 yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai, 2026, menampilkan penyertaan yang diperluas kepada 48 pasukan, meningkat daripada 32 pasukan pada edisi-edisi sebelum ini.
-- BERNAMA