Zenix Aerospace Upeca Perhebat Keupayaan, Lonjak Peranan Malaysia Dalam Rantaian Aeroangkasa Global
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Zenix Aerospace Upeca terus memperkukuh keupayaan pembuatan, pendigitalan dan pembangunan modal insan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai aeroangkasa global serta memacu pertumbuhan industri yang mampan.
Pengarah Kualiti dan Kejuruteraannya Superemaneyam Kuppusamy berkata Malaysia memiliki semua prasyarat untuk muncul sebagai hab aeroangkasa utama di Asia Tenggara.
Beliau berkata sebagai syarikat yang komited menyokong pembangunan industri aeroangkasa, Zenix Aerospace Upeca sentiasa menilai peluang untuk mempertingkat keupayaan operasi, daya saing teknologi dan kesiapsiagaan tenaga kerjanya.
"Fokus kami kekal kepada usaha memperkukuh kecemerlangan pembuatan menerusi pelaburan dalam penambahbaikan proses, pendigitalan, teknologi pembuatan termaju serta inisiatif peningkatan kualiti.
"Kami juga giat membangunkan tenaga kerja melalui latihan teknikal, pembangunan kepimpinan dan program peningkatan keupayaan bagi memastikan pasukan kami sentiasa bersedia memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah," katanya kepada Bernama.
Selain itu, beliau berkata Zenix Aerospace Upeca terus menyokong inisiatif strategik berkaitan kecekapan operasi, kemampanan dan amalan terbaik industri aeroangkasa.
"Usaha ini selaras dengan objektif jangka panjang kami untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi, di samping mengukuhkan kedudukan kami dalam rantaian bekalan aeroangkasa global," katanya.
Superemaneyam berkata rantaian bekalan aeroangkasa Malaysia telah mencatat kemajuan ketara sepanjang dua dekad lalu dan kini menjadi antara penyumbang penting kepada ekosistem aeroangkasa global, khususnya dalam bidang pembuatan struktur pesawat, pemesinan berketepatan tinggi, fabrikasi kepingan logam, bahan komposit, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), serta perkhidmatan kejuruteraan.
Menurut beliau, kelebihan daya saing Malaysia terletak pada asas industri aeroangkasa yang kukuh, disokong pensijilan bertaraf antarabangsa seperti AS9100 dan Nadcap.
"Pemain industri aeroangkasa tempatan telah berjaya mengintegrasikan operasi mereka dalam rantaian bekalan global dengan membekalkan komponen dan perkhidmatan kepada Pengeluar Peralatan Asal (OEM) serta pembekal Tier 1 terkemuka.
"Malaysia turut mendapat manfaat daripada kedudukan geografi yang strategik, kos operasi yang kompetitif serta tenaga kerja pelbagai bahasa yang mampu memenuhi keperluan perniagaan antarabangsa," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata beberapa aspek masih memerlukan penambahbaikan memandangkan Malaysia masih tertumpu kepada aktiviti pembuatan berasaskan spesifikasi pelanggan (build-to-print) dan peranan sebagai pembekal Tier 2 serta Tier 3.
Menurutnya, industri perlu terus melonjak ke rantaian nilai yang lebih tinggi dengan meningkatkan penglibatan dalam pembangunan produk, kejuruteraan termaju, pembuatan digital dan inovasi teknologi.
"Selain itu, cabaran berkaitan ketersediaan bakat, penyetempatan rantaian bekalan, kebergantungan terhadap bahan mentah import serta pengukuhan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam program aeroangkasa masih perlu ditangani.
"Secara keseluruhannya, Malaysia telah membina asas yang kukuh, namun fasa pertumbuhan seterusnya memerlukan keupayaan teknologi yang lebih mantap, rantaian bekalan tempatan yang lebih menyeluruh serta daya saing berteraskan inovasi," katanya.
Ketahanan Rantaian Bekalan Jadi Keutamaan Strategik
Superemaneyam berkata gangguan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pandemik COVID-19, ketegangan geopolitik, kekangan logistik dan kekurangan bahan mentah, membuktikan bahawa ketahanan rantaian bekalan kini menjadi keutamaan strategik dan bukan lagi sekadar isu operasi.
Bagi menangani risiko berkenaan, katanya, syarikat aeroangkasa semakin mempelbagaikan rangkaian pembekal bagi menjamin kesinambungan perniagaan, selain meningkatkan keterlihatan terhadap keseluruhan rantaian bekalan mereka.
"Walaupun amalan pembuatan berkonsepkan lean manufacturing kekal penting, banyak organisasi aeroangkasa kini melaksanakan pendekatan pengurusan inventori berasaskan risiko bagi bahan dan komponen kritikal.
"Pada masa ini, ketahanan rantaian bekalan dibina menerusi keanjalan, kerjasama, pendigitalan dan pengurusan risiko yang proaktif," katanya.
Zenix Aerospace Upeca Perkukuh Jaringan Industri
Zenix Aerospace Upeca aktif menyertai pameran industri, persidangan aeroangkasa, program pembangunan bakat serta pelbagai inisiatif kerjasama industri sepanjang tahun.
Superemaneyam berkata program berkenaan menyediakan platform penting kepada pelanggan, pembekal, pelajar dan pemain industri untuk memahami keupayaan Zenix Aerospace Upeca, meneroka peluang kerjasama serta mengikuti perkembangan terkini sektor aeroangkasa.
"Kami menggalakkan pihak berkepentingan mengikuti saluran komunikasi rasmi kami, termasuk LinkedIn dan pengumuman korporat, bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai acara akan datang, peluang kerjaya dan penglibatan industri," katanya.
Beliau berkata Zenix Aerospace Upeca kekal komited menyokong pertumbuhan ekosistem aeroangkasa Malaysia menerusi inovasi, pembangunan bakat dan kecemerlangan pembuatan.
Mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan industri, Superemaneyam turut menyertai Forum Aeroangkasa Selangor hari ini sebagai ahli panel bagi sesi bertajuk "Memperkukuh Rantaian Bekalan Aeroangkasa Malaysia: Integrasi, Ketahanan dan Kedudukan Global".
Forum Aeroangkasa Selangor yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini merupakan sebahagian daripada MyAERO Summit, yang mengetengahkan kemajuan teknologi aeroangkasa dan astronautik, selain pembangunan sistem tanpa pemandu dan dron.
-- BERNAMA