AI Kian Diguna Dalam Industri Halal, Pemeriksa Manusia Kekal Penting --Atase Perdagangan Indonesia

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Kecerdasan buatan (AI) boleh membantu menjadikan pensijilan halal lebih pantas dan cekap, namun pemeriksa manusia kekal penting untuk mengesahkan bahan dan proses pengeluaran terutamanya bagi produk yang mempunyai pelbagai formulasi, kata pegawai perdagangan Indonesia hari ini.

Atase Perdagangan Kedutaan Besar Indonesia ke Malaysia Aziza Rahmaniar Salam berkata teknologi boleh menyokong pelbagai aspek proses pensijilan, namun pengesahan terperinci masih diperlukan bagi memastikan produk mematuhi sepenuhnya keperluan halal.

Ad Banner

“Teknologi berkembang sangat pantas dan kita mesti mengikut arus perkembangan teknologi ini. Namun bagi pensijilan dan pemeriksaan, saya fikir kita masih belum boleh menggunakannya secara sepenuhnya.

“Mungkin AI boleh membantu, tetapi ia bukanlah sesuatu yang boleh kita percayai sepenuhnya. Kita masih memerlukan pemeriksaan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi BERNAMA Mobile Studio di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di sini yang bertajuk “Penyertaan dalam MIHAS 2026 dan Perdagangan Halal Global”.

Ad Banner
Ad Banner

Aziza memberitahu keperluan untuk pengesahan terperinci amat ketara bagi produk seperti kosmetik apabila varian berbeza bagi produk yang sama mungkin mengandungi bahan-bahan yang berbeza.

Beliau menyatakan pembayang mata sebagai contoh, produk yang ditawarkan dalam tiga warna berbeza mungkin memerlukan setiap varian diperiksa secara berasingan bagi memastikan bahan-bahan yang digunakan mematuhi keperluan halal.

Contoh berkenaan menunjukkan satu daripada cabaran dalam penerapan AI bagi pensijilan halal kerana sistem automatik mungkin dapat mengenal pasti dan membandingkan bahan-bahan yang digunakan, namun pemeriksaan fizikal masih diperlukan untuk mengesahkan cara produk dikilangkan dan dikendalikan.

Bagaimanapun, Aziza berkata proses pensijilan kini menjadi lebih cekap apabila semakin banyak institusi berupaya menjalankan pemeriksaan halal berbanding kapasiti yang lebih terhad sebelum ini dengan proses tersebut kekal di bawah pengawasan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) di Indonesia.

Malah, BPJPH dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai pengaturan pengiktirafan bersama bagi pensijilan halal yang membolehkan pensijilan halal Indonesia yang diiktiraf diterima di Malaysia dan begitu juga sebaliknya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pensijilan halal penting bagi perniagaan tanpa mengira latar belakang agama pemiliknya, khususnya apabila produk mereka disasarkan kepada pengguna Islam.

Beliau menambah makanan dan minuman kekal sebagai segmen utama dalam industri halal Indonesia manakala negara itu turut berusaha memperluas kehadiran produk dan perkhidmatan halal lain termasuk produk penjagaan kulit dan kosmetik, minyak wangi, pelancongan serta kewangan.

Aziza memaklumkan kehadiran jenama penjagaan kulit Indonesia, Wardah di Malaysia sebagai contoh manakala pelancongan halal turut menawarkan potensi yang besar memandangkan makanan halal mudah didapati di banyak kawasan di Indonesia.

Menyentuh mengenai MIHAS, beliau berkata pameran perdagangan halal yang diiktiraf di peringkat global itu kekal sebagai platform penting bagi perniagaan Indonesia bukan sahaja untuk menembusi pasaran Malaysia, malah turut berhubung dengan pembeli dari rantau lain.

Menurut Aziza, Indonesia menyertai MIHAS selama kira-kira 10 hingga 12 tahun dengan pameran itu menyediakan peluang kepada perniagaan Indonesia untuk bertemu pembeli yang mencari produk halal dari pasaran termasuk negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), rantau Arab yang lebih luas serta Afrika.

“MIHAS bukan sekadar tempat untuk kami mempamerkan produk halal, malah turut memberi peluang kepada kami untuk mencari pembeli lain. Pameran ini diadakan di Malaysia, tetapi pembelinya boleh datang dari negara lain termasuk negara-negara GCC, negara Arab dan Afrika,” tegasnya.

Dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), MIHAS 2026 yang kini memasuki edisi ke-22 berlangsung dari 23 hingga 26 September di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA