Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Tamatkan Penurunan Lima Hari Berturut-turut

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives menamatkan penurunan lima hari berturut-turut untuk ditutup kebanyakannya lebih tinggi pada Khamis.

Ini berikutan sentimen pasaran yang bertambah baik susulan keputusan India mengurangkan duti import ke atas minyak sayuran mentah dan diproses selain harga minyak mentah yang lebih kukuh.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata keputusan India untuk mengurangkan duti import ke atas minyak sayuran mentah dan diproses termasuk minyak sawit, pada mulanya meningkatkan jangkaan minat belian yang lebih kukuh.

“Meskipun duti import yang lebih rendah sepatutnya merangsang import minyak makan mentah, minyak bunga matahari dilihat sebagai penerima manfaat utama berikutan status duti sifarnya yang berpotensi meningkatkan penguasaan pasaran dengan menjejaskan minyak sawit dan minyak soya,” katanya kepada Bernama.

Menurut laporan, India mengurangkan duti import asas ke atas minyak makan mentah dan diproses termasuk minyak sawit, soya dan bunga matahari dalam langkah untuk menurunkan harga menjelang musim perayaan utama.

Ia menyatakan harga minyak sayuran di India meningkat hampir 20 peratus berbanding tahun lepas.

Pengurangan duti tersebut dijangka meredakan harga serta merangsang penggunaan semasa perayaan keagamaan utama dari September hingga November apabila permintaan terhadap gula-gula, makanan ringan dan makanan bergoreng biasanya meningkat.

Ad Banner

Sementara itu, Sathia berkata kontrak bulan tertangguh dari Mac hingga Ogos mencatat kenaikan lebih kukuh iaitu lebih RM40 dengan sesetengah kontrak meningkat hampir RM70.

“Kesemua bulan kontrak tertangguh ditutup di atas paras RM5,000 setiap tan, mencerminkan prospek bekalan jangka panjang yang lebih terhad berikutan keadaan cuaca El Niño manakala bekalan jangka pendek kekal mencukupi,” tambahnya.

"Pada penutup dagangan, kontrak Oktober 2026 susut RM37 kepada RM4,564 setiap tan manakala kontrak November 2026 merosot RM12 kepada RM4,673 setiap tan.

Bagaimanapun, kontrak Disember 2026 menaik RM4 kepada RM4,772 setiap tan, kontrak Januari 2027 meningkat RM19 kepada RM4,870 setiap tan, Februari 2027 melonjak RM34 kepada RM4,963 setiap tan dan Mac 2027 mencatatkan kenaikan RM43 kepada RM5,040 setiap tan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 113,518 lot daripada 173,211 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka meningkat sedikit kepada 337,668 kontrak berbanding 334,386 kontrak sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner

"Harga MSM fizikal bagi September Selatan susut RM30 kepada RM4,580 setiap tan. 

-- BERNAMA