MATRADE–CAIQ Biosecurity Jalin Kerjasama MCGi, Pacu Eksport PMKS Ke China
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan CAIQ Biosecurity Sdn Bhd di bawah Malaysia-China Gateway Initiative (MCGi) bagi memperkukuh sokongan pematuhan teknikal dan meningkatkan kesiapsiagaan pasaran dalam kalangan pengeksport Malaysia yang menyasarkan pasaran China.
Menurut MATRADE, inisiatif itu memberi tumpuan khusus kepada membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memahami serta mematuhi keperluan import China, termasuk ujian produk, dokumentasi, pelabelan, kebolehkesanan dan prosedur kawal selia berkaitan.
Berbeza daripada program latihan atau khidmat nasihat konvensional, MCGi berfungsi sebagai platform pelaksanaan praktikal yang membimbing syarikat menerusi laluan berstruktur, bermula daripada minat dan penilaian awal, persediaan pematuhan, akses pasaran, penglibatan pembeli sehingga susulan eksport.
Laluan bersepadu itu turut menghubungkan kesiapsiagaan teknikal dengan platform pembangunan pasaran sedia ada MATRADE, termasuk aktiviti promosi eksport, padanan perniagaan dan saluran perdagangan digital.
Pacu Eksport Bernilai Tinggi, Patuhi Regulasi China
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata walaupun permintaan terhadap produk berkualiti tinggi dari Malaysia terus meningkat, banyak syarikat tempatan khususnya PMKS masih berdepan cabaran memahami dan memenuhi keperluan teknikal serta regulatori China.
Beliau berkata antara cabaran utama ialah pendaftaran produk serta pematuhan prosedur di bawah General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC) dan National Medical Products Administration of the People’s Republic of China (NMPA), yang setara dengan Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) di Malaysia.
“Kami mahu menggantikan ketidaktentuan dengan kejelasan, halangan dengan laluan, serta potensi dengan prestasi. Dengan mengintegrasikan pemudahcaraan akses pasaran dan sokongan pematuhan teknikal, MCGi bertujuan membantu syarikat Malaysia memasuki pasaran China dengan lebih pantas, lebih patuh dan berskala lebih besar,” katanya dalam ucapan sebelum majlis menandatangani perjanjian itu.
Beliau berkata skop produk di bawah MCGi meliputi sektor pertanian, produk akuatik, makanan dan makanan kesihatan, kosmetik, penjagaan kesihatan, penjagaan haiwan peliharaan serta komoditi.
Inisiatif itu turut berfungsi sebagai intervensi jangka panjang bagi mempelbagaikan struktur eksport Malaysia yang ketika ini banyak tertumpu kepada komoditi dan produk industri seperti minyak sawit, gas asli cecair (LNG) serta komponen elektrik dan elektronik ke China.
Melalui pengkomersialan sektor bernilai tinggi dan berorientasikan pengguna seperti barangan jenama premium dan makanan diproses, MCGi disasar membantu Malaysia meraih margin lebih tinggi, mengurangkan kebergantungan kepada eksport berasaskan komoditi serta memenuhi permintaan pengguna China terhadap produk berkualiti dan tulen.
Fokus Produk GI, Kejayaan Diukur Secara Nyata
Reezal Merican berkata satu lagi fokus utama MCGi ialah promosi produk Indikasi Geografi (GI) Malaysia.
“Penjenamaan premium sahaja tidak mencukupi. Untuk berjaya di China, produk juga mesti memenuhi keperluan regulatori dan teknikal yang ketat. Di sinilah peranan MCGi — mentransformasikan produk GI tempatan daripada khazanah domestik kepada jenama premium sedia eksport yang mampu meraih keyakinan pembeli dan kejayaan komersial mampan,” katanya.
Bagi memastikan keberkesanan inisiatif itu, beliau berkata laporan kemajuan akan dibentangkan kepada MATRADE setiap enam bulan, merangkumi bilangan syarikat yang berjaya menembusi pasaran China, sambil menegaskan bahawa kemasukan pasaran sahaja tidak mencukupi.
“Syarikat perlu berdaya tahan untuk terus kekal dan berkembang dalam pasaran, khususnya dalam persekitaran rantaian bekalan yang terdedah kepada gangguan akibat ketegangan geopolitik,” katanya.
Sehubungan itu, MATRADE dan CAIQ Biosecurity akan mewujudkan mekanisme pemantauan bersama bagi menilai pelaksanaan, menyelaras penyelesaian isu operasi serta menjejak petunjuk prestasi utama termasuk bilangan syarikat dinilai, produk didaftarkan, peluang eksport dijana dan jualan eksport direalisasikan.
Maklum balas peserta juga akan dimanfaatkan bagi mengenal pasti serta mengatasi halangan regulatori berulang.
Perdagangan Malaysia–China Terus Meningkat
China kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di ASEAN, dengan perdagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion (US$126.81 bilion) pada 2025, menyumbang 17.7 peratus daripada jumlah perdagangan global negara.
Momentum itu berterusan pada 2026 apabila perdagangan dua hala meningkat 26.8 peratus bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini kepada RM261.32 bilion (US$65.89 bilion).
-- BERNAMA