Takaful Malaysia Catat Untung Bersih Suku Ketiga Lebih Tinggi Sebanyak RM127.88 Juta
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM127.88 juta pada suku ketiga (S3) yang berakhir pada 30 September 2026 berbanding RM115.42 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Menurut syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, perolehan meningkat kepada RM1.32 bilion daripada RM1.05 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
Kumpulan itu memaklumkan bahawa keuntungan sebelum zakat dan percukaian meningkat 6.2 peratus kepada RM192.26 juta berbanding RM180.99 juta sebelumnya, terutamanya disokong oleh prestasi perkhidmatan takaful yang lebih kukuh, namun sebahagiannya diimbangi oleh prestasi pelaburan yang lebih lemah dan kos kewangan yang timbul daripada terbitan sukuknya.
“Hasil perkhidmatan takaful meningkat sebanyak RM238.6 juta, terutamanya didorong oleh pertumbuhan dalam perniagaan jangka pendek dan jumlah caj yang lebih tinggi bagi perlindungan takaful.
“Takaful Keluarga mencatatkan hasil takaful sebanyak RM690.5 juta pada suku tersebut, iaitu meningkat 30.7 peratus berbanding RM528.3 juta setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh jumlah caj yang lebih tinggi bagi perlindungan takaful dan peningkatan pelepasan caruman daripada perniagaan jangka pendeknya,” menurut syarikat itu.
Sementara itu, perolehan Takaful Am meningkat 19.9 peratus kepada RM424.9 juta daripada RM354.4 juta, disokong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen Takaful Kenderaan dan Kebakaran.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 30 September 2026, keuntungan bersih kumpulan itu meningkat kepada RM317.68 juta berbanding RM293.78 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Keuntungan sebelum zakat dan percukaian meningkat 6.4 peratus kepada RM497.82 juta daripada RM468.02 juta, manakala hasil takaful meningkat 14.3 peratus kepada RM3.14 bllion daripada RM2.75 bilion.
Mengenai prospek, kumpulan itu menjelaskan bahawa prospek pertumbuhan bagi industri takaful dan insurans kekal positif walaupun terdapat cabaran luaran, dengan ruang untuk pengembangan dalam segmen pasaran tertentu.
Menurut Takaful Malaysia, pelancaran MediAsas, iaitu pelan perlindungan perubatan yang bertujuan menyediakan perlindungan mampu milik kepada orang ramai, dijangka kekal mengikut jadual pada awal tahun 2027.
-- BERNAMA