BERITA TERKINI   MCMC selaraskan usaha pemulihan perkhidmatan telekomunikasi Pantai Timur Sabah bersama Sabah Electricity dan penyedia perkhidmatan | MCMC sediakan sambungan satelit Starlink di 18 lokasi kritikal pastikan komunikasi pasukan di lapangan | Sebanyak 1,196 tapak selular terjejas susulan bekalan elektrik terputus di Pantai Timur Sabah - MCMC | Mesej tular gangguan bekalan elektrik selama dua minggu di Pantai Timur Sabah adalah palsu - Sabah Electricity | Bekalan elektrik berjaya dipulihkan di beberapa kawasan Sandakan, Lahad Datu dan Kunak - Sabah Electricity | 

IOI Properties Catat Untung Bersih Lebih Rendah Kepada RM609.53 Juta

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd bagi tempoh suku pertama berakhir pada 30 September 2026 susut kepada RM609.53 juta daripada RM664.33 juta pada tahun sebelumnya.

Perolehan hasil bagaimanapun melonjak kepada RM1.12 bilion daripada RM968.70 juta, didorong oleh peningkatan prestasi segmen pelaburan hartanah, hospitaliti dan rekreasi yang masing-masing tumbuh 45 peratus dan 37 peratus.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Lee Yeow Seng berkata pihaknya menyambut baik permulaan kukuh bagi tahun kewangan 2027 yang disifatkan sebagai paparan keberkesanan strategi mempelbagaikan aliran pendapatan, memperkenalkan produk yang memenuhi permintaan pasaran serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan merentasi ketiga-tiga segmen perniagaan terasnya.

Ad Banner

“Prospek prestasi operasi kumpulan kekal positif bagi tempoh berbaki tahun kewangan ini, disokong oleh penawaran produk yang pelbagai, jualan yang belum dimasuk kira atau direkodkan yang positif serta portfolio pendapatan berulang yang terus berkembang,” katanya.

Lee berkata jualan yang belum dimasuk kira itu juga menghampiri paras tertinggi sebanyak RM2.46 bilion, sekali gus memaparkan ketampakan pendapatan kukuh dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana.

“Penjualan tanah perindustrian di IOI Industrial Park Banting kepada Bridge Data Centres juga kekal mengikut jadual untuk dimuktamadkan menjelang suku keempat tahun 2026 dan dijangka terus memperkukuh prestasi kewangan segmen berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa sama, kumpulan terus merealisasikan nilai daripada inventori hartanah siap yang berkurangan sebanyak RM129.8 juta lagi kepada RM1.04 bilion yang mencerminkan usaha berterusan dalam rasionalisasi inventori,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu kekal menumpukan usaha mengekalkan momentum jualan dengan memanfaatkan pembangunan bandar bersepadu serta tawaran produk yang dipelbagaikan.

“Kumpulan akan terus menumpukan strategi jangka panjang untuk berkembang menjadi sebuah entiti berteraskan dua penggerak utama dengan menggabungkan kekuatan kumpulan dalam pembangunan hartanah bersama portfolio hartanah pelaburan berkualiti tinggi dan mampu menjana pendapatan berulang pada margin tinggi dan lebih stabil yang merentasi setiap kitaran pasaran hartanah,” katanya.

-- BERNAMA