IJM Corporation Catat Untung Bersih Lebih Tinggi Kepada RM233.17 Juta Pada Suku Kedua
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- IJM Corporation Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu kepada RM233.17 juta pada suku kedua yang berakhir 30 Sept, 2026 daripada RM65.78 juta pada suku sama tahun lepas.
Dalam satu kenyataan hari ini, konglomerat itu memaklumkan perolehan kumpulan meningkat kepada RM2.38 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2027 daripada RM1.67 bilion sebelumnya.
Menurutnya, bagi tempoh enam bulan pertama yang berakhir 30 Sept, 2026, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu kepada RM370.57 juta daripada RM161.38 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya manakala perolehan menokok kepada RM4.68 bilion daripada RM3.40 bilion.
“Keuntungan bersih yang lebih tinggi pada suku kedua tahun kewangan 2027 dan enam bulan pertama tahun kewangan 2027 disokong oleh margin operasi yang lebih kukuh merentasi semua bahagian, keuntungan daripada penjualan tanah perindustrian serta kos susut nilai dan pelunasan yang lebih rendah.
“Dalam pada itu, peningkatan perolehan pada suku kedua tahun kewangan 2027 dan enam bulan pertama tahun kewangan 2027 disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada bahagian pembinaan, hartanah, industri dan pelabuhan,” jelasnya.
IJM turut menyatakan lembaga pengarahnya telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 2 sen sesaham bagi suku ini menjadikan jumlah agihan setakat ini bagi tahun kewangan 2027 sebanyak RM438 juta.
Mengenai prospek, IJM memberitahu kumpulan itu mengunjurkan prestasi operasi yang lebih kukuh pada tahun kewangan 2027.
Jelasnya, prestasi itu disokong oleh nilai perolehan kontrak pembinaan, jualan hartanah belum dibilkan, permintaan berterusan terhadap bahan binaan daripada bahagian industrinya serta pendapatan berulang yang stabil daripada konsesi tol dan pelabuhan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusannya Datuk Lee Chun Fai berkata prestasi kukuh pada separuh pertama tahun kewangan meletakkan kumpulan itu pada landasan yang tepat untuk mencatatkan prestasi kewangan tahun kewangan 2027 yang lebih baik.
“Kami kekal memberi tumpuan untuk mengekalkan prestasi pelaksanaan projek dan operasi pada separuh kedua tahun kewangan 2027 selain merealisasikan inisiatif penjanaan nilai IJM seperti yang dirancang,” katanya.
-- BERNAMA