BERITA TERKINI   MCMC selaraskan usaha pemulihan perkhidmatan telekomunikasi Pantai Timur Sabah bersama Sabah Electricity dan penyedia perkhidmatan | MCMC sediakan sambungan satelit Starlink di 18 lokasi kritikal pastikan komunikasi pasukan di lapangan | Sebanyak 1,196 tapak selular terjejas susulan bekalan elektrik terputus di Pantai Timur Sabah - MCMC | Mesej tular gangguan bekalan elektrik selama dua minggu di Pantai Timur Sabah adalah palsu - Sabah Electricity | Bekalan elektrik berjaya dipulihkan di beberapa kawasan Sandakan, Lahad Datu dan Kunak - Sabah Electricity | 

Cadangan LTAT Jual Pegangan Boustead Plantations Sejajar Syor PAC, Perkukuh Dana Persaraan

Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Cadangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mengurangkan pegangannya dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) di bawah Project Earth itu merupakan langkah penting dalam usaha transformasi berterusan untuk muncul sebagai sebuah dana persaraan yang lebih pelbagai, berdaya tahan dari segi kewangan serta mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi berkata langkah itu juga selaras dengan saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) agar dana persaraan berkenaan dapat mempelbagaikan portfolio serta mengurangkan kebergantungannya kepada Kumpulan Boustead bagi mengurangkan risiko tumpuan pelaburan selain memastikan pembayaran dividen yang mampan untuk para pencarum.

Ad Banner

Cadangan itu juga dijangka dapat mengurangkan pendedahan LTAT ke atas aset strategik selain membolehkan dana persaraan itu menghapuskan kos pembiayaan yang mencecah sehingga RM80 juta setahun membabitkan pinjaman bagi langkah penswastaan BPlant.

“Secara bersama, langkah-langkah ini akan mengurangkan penumpuan terhadap aset-aset strategik dan menggerakkan kami untuk menghampiri sasaran GEMPUR30,” katanya sebagai menjawab pertanyaan BERNAMA.

GEMPUR30 merupakan pelan transformasi strategik lima tahun LTAT (2026–2030) yang bertujuan memperkukuh kemampanan kewangan, meningkatkan prestasi pelaburan serta memastikan pembayaran dividen yang konsisten kepada pencarumnya.

Ad Banner
Ad Banner

Antara tumpuan utamanya adalah untuk menseimbangkan semula portfolio pelaburan dengan mengurangkan peruntukan aset strategik kepada 35 peratus daripada 58.5 peratus manakala peruntukan ekuiti awam dan pendapatan tetap ditingkatkan masing-masing daripada 10.2 peratus dan 11.8 peratus kepada sekurang-kurangnya 20 peratus setiap satu menjelang 2030.

Menerusi pegangan penting yang dikekalkan, LTAT akan terus menerima dividen daripada BPlant dan turut terbabit dalam pertumbuhan syarikat itu manakala perjanjian berkenaan akan memastikan sokongan BPlant kepada komuniti Angkatan Tentera terus terpelihara.

Mohammad Ashraf berkata langkah LTAT itu juga berpandukan kepada tanggungjawab teras untuk melindungi serta mengembangkan simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia.

“Setiap keputusan pelaburan LTAT bermula dengan satu persoalan: apakah ini melindungi dan mengembangkan lagi simpanan persaraan warga Angkatan Tentera yang berkhidmat untuk negara?

“Pada masa ini, lebih separuh daripada simpanan pencarum terikat kepada sejumlah aset strategik. Tiada dana persaraan yang berhemah boleh membiarkan pencarumnya terdedah kepada tahap penumpuan pelaburan sedemikian,” katanya.

 

Mengutamakan Pulangan Pencarum, BPlant Jejas Hasil Bersih LTAT

 

Mohammad Ashraf juga menegaskan keputusan mengurangkan pegangan dalam BPlant perlu dilihat dari sudut pulangan pelaburan dana persaraan dan bukan semata-mata berdasarkan keuntungan syarikat perladangan itu.

Beliau berkata walaupun BPlant mencatatkan peningkatan prestasi operasi, dividen yang diterima LTAT sebaliknya masih rendah berbanding kos faedah tahunan bagi pinjaman yang diperoleh untuk tujuan langkah penswastaannya.

Kos pembiayaan itu yang mencecah sehingga RM80 juta setahun, menyebabkan LTAT mengalami defisit hasil bersih.

“Walaupun dividen BPlant meningkat susulan prestasi operasi yang lebih baik, jumlah tunai yang benar-benar diterima LTAT masih tidak mencukupi untuk menampung bayaran faedah hutang berkenaan.

“Sebagai pemegang amanah, kami tidak boleh membiarkan pencarum terus terdedah kepada struktur pelaburan yang memberikan pulangan negatif sedangkan kami mempunyai peluang untuk melunaskan hutang itu dan melaburkan semula modal berkenaan dalam aset yang menjana pulangan lebih tinggi daripada kosnya,” katanya.

Justeru, usaha peningkatan prestasi BPlant memberi peluang kepada LTAT untuk merealisasikan nilai pelaburannya ketika kedudukan syarikat itu semakin kukuh, di samping mengurangkan pendedahan kepada kitaran harga komoditi dan keperluan perbelanjaan modal yang besar dalam industri perladangan, katanya.

Ini termasuk program penanaman semula yang memerlukan pelaburan awal yang besar dan mengambil masa beberapa tahun sebelum menghasilkan pulangan.

Beliau menegaskan bahawa cadangan itu bertujuan mengurangkan pegangan saham dan bukannya menarik diri sepenuhnya daripada sektor perladangan.

“Kumpulan LTAT akan terus mengekalkan kepentingan minoriti yang bermakna dalam BPlant. Dengan itu, kami masih dapat menikmati manfaat daripada pertumbuhan dan dividen syarikat pada masa depan, mempunyai suara dalam hala tuju strategiknya serta mengekalkan sumbangan kepada komuniti Angkatan Tentera dan keterjaminan makanan negara,” katanya.

 

Proses Tender Kompetitif, Tadbir Urus Kukuh

 

Mengenai pemilihan pelabur pilihan, Mohammad Ashraf berkata proses tender yang kompetitif melibatkan empat kumpulan perladangan Bumiputera dan berkaitan kerajaan yang disenarai pendek, telah dilaksanakan bagi mendapatkan nilai keseluruhan terbaik untuk pencarum.

“Tiga pihak telah mengemukakan tawaran dan kemudiannya dipelawa untuk menambah baik cadangan masing-masing menerusi pusingan bidaan kedua,” katanya sambil menambah bahawa LTAT melantik penilai bebas untuk menilai aset tanah BPlant serta penasihat kewangan bebas bagi menentukan nilai saksama saham syarikat itu.

Beliau berkata penilaian itu bukan sahaja mengambil kira harga pembelian, malah turut merangkumi terma pembayaran, kepastian pembiayaan, obligasi kontrak, potensi liabiliti yang perlu ditanggung serta keupayaan menyelesaikan urus niaga dalam tempoh yang ditetapkan.

“Dengan terma komersial yang secara umumnya setara, tawaran yang dipilih memberikan nilai lebih baik berbanding tawaran kedua terbaik dengan hanya perbezaan dua digit. Bagi sebuah dana persaraan, menolak kelebihan tersebut semata-mata untuk memilih syarikat yang lebih besar atau lebih dikenali bukanlah keputusan yang berhemah, malah boleh dianggap sebagai mengabaikan tanggungjawab kami terhadap pencarum,” katanya.

Pembida pilihan itu juga telah mengemukakan bukti pembiayaan daripada institusi kewangan tempatan.

Bagaimanapun, pelaksanaan perjanjian muktamad masih tertakluk kepada penyempurnaan kesemua keperluan kewangan, pemilikan dan tadbir urus yang memuaskan, termasuk pengesahan pemunya benefisial akhir serta pematuhan syarat Bumiputera, katanya.

Mohammad Ashraf berkata proses berkenaan juga telah melalui beberapa peringkat penelitian yang melibatkan pihak pengurusan, Panel Pelaburan, Lembaga Pengarah serta pihak berkepentingan kerajaan yang berkaitan.

“Angka menjadi panduan dalam pertimbangan kami; tadbir urus pula melindungi mandat yang dipertanggungjawabkan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata semua pembida yang mengambil bahagian telah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan proses tender yang telah dimuktamadkan tidak akan dibuka semula, selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti proses.

 

Hasil Bagi Perkukuh Lembaran Imbangan LTAT

 

Mohammad Ashraf menjelaskan bahawa sebahagian besar hasil daripada cadangan itu akan digunakan untuk melunaskan sepenuhnya pinjaman yang diambil berkaitan dengan penswastaan ​​BPlant, sekali gus mengurangkan obligasi pembiayaan LTAT dengan ketara dan memperkukuh lembaran imbangannya.

“Baki dana itu akan dilaburkan semula seiring dengan rangka kerja Peruntukan Aset Strategik kami, terutamanya dalam instrumen pendapatan tetap dan ekuiti tersenarai, dengan pasaran swasta serta aset sebenar turut dipertimbangkan secara selektif,” katanya.

Peruntukan semula itu dijangka dapat meningkatkan kecairan portfolio, meluaskan aliran pendapatan berulang serta memperkukuh keupayaan LTAT untuk memberikan dividen yang konsisten kepada anggota Angkatan Tentera bagi tempoh jangka panjang.

Beliau berkata langkah itu juga merupakan kesinambungan kepada inisiatif pemulihan modal dan kepelbagaian portfolio yang telah dilaksanakan oleh LTAT sebelum ini di bawah Project Earth berkenaan.

 

Memelihara Pertumbuhan, Sumbangan Strategik BPlant

 

Beliau berkata cadangan transaksi itu juga dirangka bagi memastikan kesinambungan operasi BPlant kekal terpelihara, tenaga kerja dilindungi serta sumbangan kepada komuniti Angkatan Tentera dapat terus dikekalkan.

Mohammad Ashraf berkata keupayaan pengurusan sedia ada BPlant akan turut dikekalkan dan LTAT tetap mempunyai suara dalam lembaga pengarah syarikat tersebut menerusi pegangan saham yang masih dimiliki.

Nilai transaksi berkenaan akan diumumkan melalui saluran sewajarnya sebaik sahaja perjanjian muktamad dapat dimeterai.

Pada akhirnya, beliau berkata cadangan itu mencerminkan komitmen LTAT untuk memastikan setiap keputusan pelaburan adalah berpandukan disiplin kewangan, tadbir urus yang kukuh serta kepentingan jangka panjang para penyumbang.

“Kami bertindak mengikut data dan kami juga bertanggungjawab kepada para penyumbang kami.”

-- BERNAMA