Lonjakan Pelaburan AI AS Pacu E&E Malaysia, Perubahan Trend Boleh Undang Risiko
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia mendapat manfaat daripada lonjakan pelaburan Amerika Syarikat (AS) dalam peralatan kecerdasan buatan (AI) menerusi peranannya dalam rantaian bekalan global, namun perubahan arah aliran pelaburan itu boleh mendedahkan ekonomi negara kepada risiko, kata Felo Terkemuka Asia Global Institute, University of Hong Kong Tan Sri Andrew Sheng.
Beliau berkata perbelanjaan besar-besaran bagi peralatan AI telah mencetuskan lonjakan perbelanjaan modal yang merangsang ekonomi AS, sekali gus memberi manfaat kepada negara pembekal seperti Malaysia.
“Ekonomi AS mendapat rangsangan dan Malaysia, sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan itu, turut menerima manfaatnya. Itulah isu ekonomi sebenar yang perlu diberi perhatian,” katanya pada Persidangan Tinjauan Ekonomi Kebangsaan anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di sini hari ini.
Sheng berkata saiz pasaran saham AS berbanding saiz ekonominya dan sistem perbankan negara itu menimbulkan persoalan mengenai kesan pembetulan pasaran terhadap ekonomi global.
“Jadi, sekiranya gelembung pasaran AS mengempis, apakah yang akan berlaku kepada negara-negara lain di dunia?” katanya.
Beliau berkata Malaysia boleh memperkukuh daya tahan ekonominya dengan memberi penekanan lebih besar kepada pembangunan berteraskan akar umbi, khususnya di kawasan kampung dan dalam kalangan golongan muda.
“Kita perlu membantu diri sendiri. Satu-satunya cara ialah melalui pembangunan dari bawah ke atas bagi memperkukuh unit asas kita, iaitu kampung dan golongan belia,” katanya.
Terdahulu, dalam pembentangannya bertajuk “AI and Social Inclusivity”, Sheng berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia masih banyak bergantung pada syarikat multinasional, manakala nilai tambah domestik yang dijana sektor itu masih terhad.
Bagaimanapun, keadaan itu mula berubah apabila semakin banyak syarikat tempatan menceburi sektor berkenaan, katanya.
Beliau turut menggesa supaya akses kepada peralatan AI dan data diperluas bagi membolehkan perusahaan kecil serta masyarakat luar bandar memanfaatkan teknologi itu.
Sheng berkata petani yang mempunyai akses kepada data kerajaan berkaitan serta latihan AI boleh menggunakan teknologi itu untuk meramalkan permintaan sebelum menentukan jenis tanaman yang hendak diusahakan.
“Jika kita semua menanam tanaman yang sama, harganya akan jatuh,” katanya.
Beliau berkata usahawan muda dan perusahaan kecil sering berdepan aliran tunai negatif pada peringkat awal perniagaan, selain menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman kerana tidak mempunyai cagaran.
-- BERNAMA