BERITA TERKINI   MCMC selaraskan usaha pemulihan perkhidmatan telekomunikasi Pantai Timur Sabah bersama Sabah Electricity dan penyedia perkhidmatan | MCMC sediakan sambungan satelit Starlink di 18 lokasi kritikal pastikan komunikasi pasukan di lapangan | Sebanyak 1,196 tapak selular terjejas susulan bekalan elektrik terputus di Pantai Timur Sabah - MCMC | Mesej tular gangguan bekalan elektrik selama dua minggu di Pantai Timur Sabah adalah palsu - Sabah Electricity | Bekalan elektrik berjaya dipulihkan di beberapa kawasan Sandakan, Lahad Datu dan Kunak - Sabah Electricity | 

Evolusi Hab KL Sanofi Cermin Peranan Kukuh Malaysia Sokong Operasi Serantau Bernilai Tinggi

 

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) --  Keupayaan Malaysia menyokong operasi perniagaan serantau yang semakin khusus menjadi kian penting memandangkan syarikat multinasional kini sedang berusaha untuk menyatukan kepakaran, meningkatkan kecekapan operasi, serta mengguna pakai teknologi baharu.

Ad Banner

Evolusi ini jelas dapat diilhat pada Sanofi, sebuah syarikat biofarmaseutikal Perancis yang mengendalikan Hab Kuala Lumpur (KL) miliknya di Malaysia.

Hab itu yang ditubuhkan pada 2016 sebagai pusat perkongsian perkhidmatan yang memfokuskan kepada kewangan menyambut ulang tahun ke-10 pada tahun ini. S

Sepanjang sedekad lepas, hab itu telah berkembang menjadi operasi serantau pelbagai fungsi yang menyokong lebih daripada 20 pasaran di seluruh Asia Pasifik dan rantau Teluk.

Ad Banner
Ad Banner

Pengembangannya mencerminkan bagaimana hab serantau di Malaysia bergerak melangkaui fungsi perkongsian perkhidmatan tradisional untuk melaksanakan tugas yang lebih kompleks, dengan memanfaatkan kepakaran tempatan bagi menyokong operasi perniagaan merentasi pelbagai pasaran.

Trudy Tan, ketua hab Kuala Lumpur dan Chengdu untuk rantau Asia Pasifik berkata kekuatan Malaysia dari segi bakat, infrastruktur, kesalinghubungan dan pengalaman, ditambah pula dengan keupayaan untuk menarik serta mengekalkan bakat, terus menyokong daya saing negara ini sebagai hab serantau.

Beliau berkata, mengekalkan daya saing ini juga bergantung kepada bagaimana syarikat membangunkan tenaga kerja mereka, di samping pelaburan dalam teknologi.

“Namun, sudah tentu, pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) juga menuntut agar kita turut melabur dalam sumber manusia kita.

"Itulah yang telah kami lakukan di Sanofi, bagi memastikan kami menggunakan teknologi untuk memacu hasil dengan lebih pantas, meningkatkan kecekapan, serta menjana impak yang lebih tinggi dalam menyokong organisasi," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

 

Daripada Perkongsian Perkhidmatan kepada Operasi Serantau Bernilai Tinggi

Sepanjang sedekad lepas, Hab Kuala Lumpur Sanofi telah berkembang melangkaui bidang kewangan, merangkumi Perkhidmatan Sumber Manusia, Perkhidmatan Pembuatan dan Bekalan, Perkhidmatan Perubatan, Perkhidmatan Perolehan, strategi pemasaran dan pengedaran serta keupayaan digital, mencerminkan peralihan ke arah perkhidmatan serantau yang lebih khusus.

Tan berkata skop perkhidmatan yang lebih luas mencerminkan peningkatan keupayaan hab tersebut untuk menguruskan tanggungjawab yang lebih kompleks dari Malaysia, di samping mewujudkan peluang bagi golongan profesional tempatan untuk memperoleh kepakaran merentas fungsi serta pendedahan di peringkat serantau.

Selain memperluas rangkaian perkhidmatan, peralihan ke arah operasi serantau juga membolehkan syarikat itu menggabungkan kepakaran khusus serta mewujudkan cara kerja yang lebih konsisten merentasi pelbagai pasaran.

Ketua operasi perniagaan Sanofi, Agnès Perré berkata pendekatan ini penting bagi organisasi yang ingin meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan secara meluas.

“Jika anda ingin mencapai skala yang lebih besar, anda perlu bergantung pada proses, model, dan sistem teras. Menyatukan segala-galanya di satu tempat merupakan cara terbaik untuk menyeragamkan serta mengindustrikan operasi, di samping meningkatkan kecekapan dan kualiti,” katanya.

Beliau berkata manfaatnya merangkumi lebih daripada sekadar kos dan kecekapan, memandangkan proses dan sistem yang konsisten juga mampu meningkatkan kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan yang disediakan merentasi pasaran yang berbeza.

Memandangkan operasi ini menjadi semakin canggih, keupayaan untuk mengurus maklumat dan menjana data perniagaan yang berguna juga menjadi semakin penting.

Bagi Sanofi, ini melibatkan kerjasama yang lebih erat antara pasukan serantau yang mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan, perkhidmatan perubatan, pembuatan dan bekalan, serta operasi digital, di samping rakan sekerja yang memahami keperluan pasaran penjagaan kesihatan individu.

Keupayaan cemerlang operasi syarikat tersebut turut mendapat pengiktirafan baru-baru ini di SSON Asia Impact Awards 2026, dengan inisiatif yang dilaksanakan merentasi hab Kuala Lumpur dan Hyderabad berjaya meraih empat anugerah: Perak bagi Automasi dan AI, Gangsa bagi Pengurusan Perubahan dan Transformasi Perniagaan, Gangsa bagi Kepelbagaian, Ekuiti dan Keterangkuman, serta Penghargaan Khas bagi Transformasi Kewangan.

 

Mempersiapkan Bakat bagi Pekerjaan Pada Masa Depan

Memandangkan operasi perniagaan serantau menjadi semakin dipacu teknologi, permintaan bagi profesional yang memiliki kemahiran khusus, keupayaan digital dan pertimbangan yang mantap juga dijangka meningkat.

Bagi Malaysia, usaha membangunkan keupayaan tersebut akan menjadi semakin penting dalam usaha mengekalkan daya tarikannya sebagai destinasi bagi pekerjaan bernilai nilai serantau.

Perré berkata syarikat juga perlu melengkapkan pekerja dengan kemahiran dan keyakinan untuk bekerja menggunakan teknologi yang sedang berkembang, dan mengakui bahawa generasi muda lebih terbuka untuk menerima peralatan digital baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Apabila mereka berada di luar pejabat, mereka sentiasa menggunakan peralatan digital seperti AI dan mereka mahu terus menggunakannya.

“Walaupun peralatan ini boleh mengubah cara kita bekerja, kesan paling besar dapat dicapai apabila pertimbangan manusia diletakkan sebagai teras kepada penggunaan peralatan ini.

“Akhirnya, kita memerlukan individu yang mampu memahami maklumat yang dihasilkan oleh peralatan digital dan AI ini, serta menterjemahkannya menjadi nilai untuk perniagaan.

“Itulah sebabnya kita perlu melatih warga kerja kita untuk membangunkan keupayaan ini," kata beliau lagi.

Peranan seperti itu menawarkan peluang kepada golongan profesional Malaysia untuk membina kepakaran dalam bidang seperti analisis data, penambahbaikan proses dan operasi digital, sambil memperoleh pendedahan kepada pasaran yang berbeza tanpa perlu berpindah ke luar negara.

Perré juga berkata walaupun syarikat perlu mempersiapkan tenaga kerja mereka bagi menghadapi perubahan teknologi, mereka juga perlu mengekalkan kualiti dan kebolehpercayaan terhadap operasi sedia ada.

"Kita tidak boleh sekadar menumpukan perhatian kepada peralatan digital seperti AI dan menganggap masa depan akan menjadi hebat semata-mata. Kita juga bertanggungjawab untuk memastikan penyampaian hasil pada masa kini," katanya.

 

Memperkukuh Keupayaan, Meneruskan Pertumbuhan

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 Hab Kuala Lumpur Sanofi, Tan berkata fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan sedia ada dan meningkatkan nilai yang disumbangkan, bukan semata-mata memperluas operasi.

Beliau menegaskan bpenambahbaikan berterusan dan budaya kerja berorientasikan prestasi tinggi akan terus menjadi keutamaan seiring dengan tanggungjawab Hab itu yang semakin khusus.

“Semangat dan dorongan dalam diri kita semua adalah untuk memberikan yang terbaik dengan mengamalkan minda yang mengutamakan penambahbaikan berterusan, kecekapan, impak dan nilai. Ini kerana kita mahu membawa perubahan yang benar-benar bermakna dalam membantu Sanofi mencapai matlamatnya, iaitu meneroka keajaiban sains untuk meningkatkan kehidupan manusia,” katanya.

Senada dengan pandangan Tan, Perré berkata tumpuan dalam tempoh dua tahun akan datang adalah untuk memperkukuh operasi sedia ada, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta mempertingkat kemahiran dan keupayaan kakitangan bagi melaksanakan tugas yang lebih kompleks dan memberikan nilai tambah lebih tinggi.

Beliau berkata kerjasama lebih erat antara semua bahagian operasi, termasuk hab global dan pasukan di setiap negara, juga penting bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan konsisten merentas pasaran serta memenuhi keperluan perniagaan tempatan.

Sanofi mempunyai enam hab dalam rangkaian globalnya yang bekerjasama dengan pasukan di setiap negara bagi membentuk model kerjasama berprestasi tinggi, mempercepat operasi dan memberikan hasil lebih baik kepada pesakit. 

Fasa seterusnya pembangunan Hab Sanofi Kuala Lumpur turut menyaksikan perasmian pejabat baharu syarikat itu di The Exchange 106, Kuala Lumpur, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian dalam tempoh 10 tahun operasinya di Malaysia. 

Direka bentuk untuk menggalakkan kerjasama antara pasukan dan menyokong kesejahteraan pekerja, pejabat baharu itu mencerminkan perubahan dalam operasi perniagaan serantau serta penekanan yang semakin diberikan kepada persekitaran kerja yang menggalakkan hubungan dan kerjasama lebih erat. 

“Kami akan terus meningkatkan kemahiran pasukan, melabur dalam pembangunan kakitangan serta mengekalkan prestasi dan melaksanakan transformasi bagi memberikan nilai yang boleh diukur kepada Sanofi dan akhirnya kepada pesakit. Itulah prinsip utama kami untuk tempoh dua tahun akan datang,” kata Perré.

-- BERNAMA