BERITA TERKINI   MCMC selaraskan usaha pemulihan perkhidmatan telekomunikasi Pantai Timur Sabah bersama Sabah Electricity dan penyedia perkhidmatan | MCMC sediakan sambungan satelit Starlink di 18 lokasi kritikal pastikan komunikasi pasukan di lapangan | Sebanyak 1,196 tapak selular terjejas susulan bekalan elektrik terputus di Pantai Timur Sabah - MCMC | Mesej tular gangguan bekalan elektrik selama dua minggu di Pantai Timur Sabah adalah palsu - Sabah Electricity | Bekalan elektrik berjaya dipulihkan di beberapa kawasan Sandakan, Lahad Datu dan Kunak - Sabah Electricity | 

KDNK Malaysia 2026 Diunjur Tumbuh 5.0 Hingga 5.5 Peratus, Kesan Tarif AS Akan Dinilai -- MIER

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 5.0 hingga 5.5 peratus pada 2026 dengan pertumbuhan pada suku keempat diunjur sederhana kepada antara 4.5 hingga 5.0 peratus daripada 5.5 peratus pada suku ketiga.

Pengarah Eksekutifnya Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata institut itu akan membuat penilaian bagaimana cadangan tarif terbaharu Amerika Syarikat (AS) boleh menjejaskan eksport dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Pertumbuhan ekonomi kita bergantung kepada permintaan asing dan luaran. Jika eksport kita berkurangan, kita akan terjejas. Persoalannya, sejauh manakah kesannya?” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Tinjauan Ekonomi Kebangsaan anjuran MIER di sini hari ini.

Ad Banner

Sulaiman memberitahu, masih terlalu awal untuk mengukur kesannya dan MIER akan menjalankan pemodelan bagi menilai bagaimana langkah yang dicadangkan itu boleh menjejaskan permintaan terhadap eksport Malaysia.

AS dilaporkan mencadangkan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974.

Malaysia merupakan antara 14 ekonomi yang terlibat dalam cadangan berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

Terdahulu, dalam pembentangannya, Sulaiman menyatakan unjuran pertumbuhan ekonomi setahun penuh oleh institut itu adalah lebih tinggi berbanding julat unjuran Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan iaitu antara 4.8 hingga 5.3 peratus.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama, 6.0 peratus pada suku kedua dan sederhana kepada 5.5 peratus pada suku ketiga.

Menurut Sulaiman, sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan menyokong pertumbuhan pada suku ketiga manakala permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) berkaitan kecerdasan buatan (AI) membantu meningkatkan eksport.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata ekonomi Malaysia berpotensi berkembang antara 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027, disokong oleh pelaksanaan projek pelaburan yang telah diluluskan, permintaan berterusan terhadap semikonduktor serta aktiviti pelancongan.

Beliau memaklumkan, antara risiko terhadap prospek ekonomi termasuk tempoh berlarutan konflik di Asia Barat serta ketidaktentuan berhubung cadangan tarif AS.

– BERNAMA