Pekat Group Pindah Penyenaraian Ke Pasaran Utama Pada 1 Dis
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pekat Group Bhd akan memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1 Dis.
Kumpulan kejuruteraan tenaga itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pemindahan itu akan melibatkan kesemua 710.30 juta saham terbitan, mewakili jumlah modal saham terbitan sebanyak RM200.82 juta.
Pekat akan disenaraikan di bawah subsektor tenaga boleh baharu, dengan nama pendek sahamnya, kod saham dan Nombor Pengenalan Sekuriti Antarabangsa (ISIN) kekal tidak berubah.
Sementara itu, dalam pemfailan berasingan, kumpulan itu berkata pihaknya telah memperoleh tiga subkontrak tambahan dengan gabungan nilai RM43.18 juta untuk membina dan memasang sistem pembumian serta perlindungan kilat di sebuah projek pusat data berskala besar di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Tiga subkontrak itu, masing-masing bernilai RM14.49 juta, RM14.62 juta dan RM14.07 juta, telah dilaksanakan pada 25 Nov 2026 oleh Pekat E&LP Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Pekat, dengan kontraktor Malaysia terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan.
“Identiti kontraktor tersebut tidak didedahkan kerana tanggungjawab kerahsiaan,” katanya.
Anugerah terbaharu ini menjadikan nilai kontrak keseluruhan projek itu kepada RM62.91 juta, termasuk subkontrak RM19.73 juta yang diperoleh pada Julai 2026, katanya.
“Skop kerja meliputi pembinaan, penyiapan, ujian dan pentauliahan sistem pembumian serta perlindungan kilat, bersama-sama dengan kerja-kerja berkaitan bagi pembangunan pusat data.
“Kerja-kerja itu dijadualkan siap secara berperingkat, dengan tarikh penyiapan sasaran masing-masing antara 21 Jan 2028 hingga 5 Jan 2029,” katanya lagi.
-- BERNAMA