BERITA TERKINI   MCMC selaraskan usaha pemulihan perkhidmatan telekomunikasi Pantai Timur Sabah bersama Sabah Electricity dan penyedia perkhidmatan | MCMC sediakan sambungan satelit Starlink di 18 lokasi kritikal pastikan komunikasi pasukan di lapangan | Sebanyak 1,196 tapak selular terjejas susulan bekalan elektrik terputus di Pantai Timur Sabah - MCMC | Mesej tular gangguan bekalan elektrik selama dua minggu di Pantai Timur Sabah adalah palsu - Sabah Electricity | Bekalan elektrik berjaya dipulihkan di beberapa kawasan Sandakan, Lahad Datu dan Kunak - Sabah Electricity | 

BYD Malaysia Sasar Suku Pertama 2027 Bagi Pemasangan Tempatan Shark 6

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- BYD Malaysia menyasarkan suku pertama 2027 untuk melancarkan unit pertama trak pikap BYD Shark 6, dipasang secara tempatan, model itu merupakan model pertama dipilih untuk operasi pemasangan tempatan syarikat tersebut di negara ini.

BYD Malaysia dan Sime Motors hari ini memulakan operasi pemasangan tempatan di Malaysia, pengeluaran akan dijalankan di kilang pemasangan Sime Motors dikendalikan oleh Inokom Corporation (Inokom) di Kulim, Kedah.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, berkata BYD Shark 6, trak pikap pacuan empat roda (4WD), menandakan pengembangan kehadiran jenama itu di Malaysia, melangkaui segmen kenderaan sedia ada.

Ad Banner

Model berkenaan adalah langkah penting dalam pembangunan jangka panjang operasi pemasangan tempatan BYD.

“Kami percaya bahawa model-model ini merupakan aspek tumpuan penting terutamanya dalam konteks pembangunan jangka panjang operasi pemasangan tempatan BYD di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena majlis perasmian kilang pemasangan tempatan BYD di Malaysia.

Ma berkata kemasukan syarikat ke dalam segmen trak pikap 4WD akan membuka peluang untuk menjangkau pangkalan pelanggan baharu dan memperkenalkan teknologi kenderaan elektrik kepada kategori kenderaan yang berbeza.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara, Jeffrey Gan berkata kerjasama dengan BYD ini akan menggabungkan kekuatan kedua-dua syarikat bagi menyokong operasi pemasangan tempatan, mewujudkan peluang untuk rakan kongsi tempatan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan automotif serantau yang berdaya saing.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dalam ucapannya berkata kerjasama BYD dengan Inokom merupakan contoh positif bagi pendekatan diambil oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam mencorakkan masa depan industri automotif Malaysia.

“Matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan daya saing jangka panjang industri automotif Malaysia.

“Inti pati kepada matlamat ini ialah memastikan pengeluar automotif beroperasi di Malaysia mengintegrasikan vendor tempatan secara berperingkat ke dalam rantaian bekalan mereka serta mewujudkan peluang bagi vendor-vendor ini membangunkan keupayaan bernilai lebih tinggi,” katanya.

Johari berkata Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan asing dan mengalu-alukan pengeluar automotif antarabangsa yang membawa teknologi canggih, berskala global serta keupayaan kejuruteraan khusus dan mewujudkan peluang untuk kerjasama bermakna dengan syarikat-syarikat Malaysia.

-- BERNAMA