BERITA TERKINI   MCMC selaraskan usaha pemulihan perkhidmatan telekomunikasi Pantai Timur Sabah bersama Sabah Electricity dan penyedia perkhidmatan | MCMC sediakan sambungan satelit Starlink di 18 lokasi kritikal pastikan komunikasi pasukan di lapangan | Sebanyak 1,196 tapak selular terjejas susulan bekalan elektrik terputus di Pantai Timur Sabah - MCMC | Mesej tular gangguan bekalan elektrik selama dua minggu di Pantai Timur Sabah adalah palsu - Sabah Electricity | Bekalan elektrik berjaya dipulihkan di beberapa kawasan Sandakan, Lahad Datu dan Kunak - Sabah Electricity | 

Petronas, Tokyo Gas Perkukuh Kerjasama Melalui Penghantaran Bio-LNG Pertama Dari Malaysia Ke Jepun

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui anak syarikat milik penuhnya, Petronas LNG Ltd (PLL), melaksanakan penghantaran pertama Bio-LNG yang mendapat pensijilan International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) PLUS dari Malaysia ke Jepun dengan kerjasama Tokyo Gas Co Ltd (Tokyo Gas).

Menurut Petronas dalam kenyataan hari ini, pencapaian itu adalah susulan daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petronas dan Tokyo Gas pada 27 Okt 2026 dalam memperluas kerjasama meliputi rantaian nilai gas asli cecair (LNG) dan meninjau peluang penyahkarbonan.

“Selain memperkukuh kerjasama yang telah lama terjalin, penghantaran Bio-LNG itu turut menunjukkan perkembangan kepada penyelesaian praktikal, menggabungkan keupayaan LNG bersepadu Petronas dengan komitmen Tokyo Gas untuk memacu penyelesaian tenaga rendah karbon,” menurutnya. 

Ad Banner

Kejayaan penghantaran itu turut menyokong usaha Tokyo Gas untuk menyumbang ke arah sasaran Jepun memperkenalkan satu peratus gas boleh baharu, termasuk e-metana dan biometana dalam bekalan gas bandar negara itu menjelang 2030.

Kargo Bio-LNG pertama itu dimuatkan bersama dengan LNG konvensional di Terminal Regasifikasi Pengerang di Johor.

“Diperoleh oleh PLL melalui Petronas Energy & Gas Trading Sdn Bhd, Bio-LNG yang dihasilkan daripada efluen kilang minyak sawit itu dihantar menggunakan infrastruktur LNG sedia ada milik Petronas yang dikendalikan oleh Petronas Gas Bhd, menunjukkan keupayaan bersepadu kumpulan itu untuk menyediakan penyelesaian tenaga rendah karbon,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli berkata pencapaian itu menunjukkan kekuatan Petronas dalam rantaian nilai LNG dengan memanfaatkan sumber biometana, infrastruktur sedia ada, keupayaan komersial dan akses pasaran untuk membekalkan penyelesaian alternatif seperti Bio-LNG.

“Dengan menggabungkan potensi biometana Malaysia dengan keupayaan operasi yang luas, kebolehpercayaan dan capaian pasaran portfolio LNG sedia ada, kami mewujudkan laluan untuk gas boleh baharu menembusi pasaran antarabangsa selain menyediakan keselamatan tenaga yang menjadi tumpuan pelanggan kami,” katanya.

Beliau berkata kerjasama rapat untuk memastikan keperluan rantaian bekalan Bio-LNG memainkan peranan penting dalam membolehkan penghantaran produk itu dari Malaysia ke Jepun berjaya dilaksanakan.

“Kami berharap dapat memperkukuh asas kerjasama ini untuk memacu penyelesaian penyahkarbonan yang praktikal dan memenuhi keperluan tenaga pelanggan yang sentiasa berubah dan menyokong permintaan yang meningkat terhadap penyelesaian tenaga rendah karbon di rantau ini,” katanya.

Menurut Petronas, penghantaran itu mencerminkan usaha berterusannya dalam memacu strategi peralihan tenaga dan hala tuju ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selain meninjau peluang pertumbuhan baharu dalam penyelesaian tenaga lebih bersih dan rendah karbon.

-- BERNAMA