BERITA TERKINI   Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak - Setiausaha Agung | Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd menyusut kepada RM494.04 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM686.26 juta pada suku yang sama tahun lepas | Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | Untung bersih CIMB Group menurun kepada RM1.88 bilion pada suku ketiga 2026 daripada RM2.08 bilion tahun lepas | 

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia kembali meningkat pada tengah hari ini, disokong aktiviti belian terpilih dalam saham wajaran tinggi, didahului sektor pengangkutan dan logistik, produk dan perkhidmatan pengguna serta perkhidmatan kewangan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.59 mata atau 0.10 peratus kepada 1,563.27 daripada paras 1,561.68 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu, yang dibuka 0.65 mata lebih rendah pada 1,561.03, bergerak antara 1,555.03 hingga 1,564.39 sepanjang sesi dagangan pagi.

Ad Banner

Bagaimanapun, sentimen pasaran kekal negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 641 berbanding 272. Sebanyak 407 kaunter tidak berubah, 1,513 tidak didagangkan manakala 102 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berjumlah 1.43 bilion unit bernilai RM993.20 juta.

MISC meningkat 17 sen kepada RM7.81, 99 Speed Mart Retail naik sembilan sen kepada RM3.11 dan CIMB menambah enam sen kepada RM7.15. Ketiga-tiga saham itu menyumbang sejumlah 3.82 mata kepada kenaikan indeks komposit.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam nota penyelidikannya, Hong Leong Investment Bank Bhd menjangkakan FBM KLCI kekal tidak menentu, dengan sebarang pemulihan selepas tekanan jualan dijangka terhad kepada paras 1,570 hingga 1,600 mata, berikutan pemulihan Wall Street yang tidak seimbang, khususnya saham berkaitan AI.

Katanya, sentimen pasaran turut terus tertekan oleh pendirian tegas Rizab Persekutuan AS (Fed), sekatan lebih ketat AS terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data, ancaman tarif baharu, prestasi pendapatan syarikat pada November yang bercampur-campur serta aliran keluar dana asing yang berterusan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, SD Guthrie meningkat sembilan sen kepada RM6.00, CelcomDigi dan MR D.I.Y. masing-masing naik tiga sen kepada RM2.28 dan RM1.04. YTL Power International susut 12 sen kepada RM4.04, manakala Maybank turun empat sen kepada RM10.10.

Dalam dagangan aktif, NexG Bina menambah setengah sen kepada empat sen, Big Caring naik empat sen kepada RM1.12, manakala IOIPG Malaysia Real Estate Investment Trust yang memulakan dagangan di Pasaran Utama susut 3.5 sen kepada 87.5 sen. MAG Holdings dan Dagang NeXchange pula tidak berubah masing-masing pada 16 sen dan 42.5 sen.

Antara saham paling untung lain ialah Lebtech yang meningkat 20.5 sen kepada 79.5 sen, manakala Bintulu Port dan Mentiga Corporation masing-masing naik 20 sen kepada RM5.20 dan RM1.52. Petronas Dagangan menambah 18 sen kepada RM19.40, sementara Kuala Lumpur Kepong meningkat 16 sen kepada RM20.96.

Malaysian Pacific Industries menerajui senarai saham paling rugi apabila susut RM1.12 kepada RM35.88. Dutch Lady Milk Industries turun 62 sen kepada RM27.18, manakala MI Technovation merosot 34 sen kepada RM5.40, Greatech Technology susut 32 sen kepada RM2.18 dan UWC turun 25 sen kepada RM5.80.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 9.89 mata kepada 11,501.84, Indeks FBM Top 100 turun 6.26 mata kepada 11,351.39, Indeks FBM ACE merosot 89.75 mata kepada 4,647.81, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 15.40 mata kepada 11,335.71 dan Indeks FBM Mid 70 turun 84.03 mata kepada 16,131.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 23.51 mata kepada 18,511.52, Indeks Perladangan naik 60.18 mata kepada 8,701.27 dan Indeks Tenaga menambah 3.68 mata kepada 740.76. Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.52 mata kepada 160.0.

-- BERNAMA