Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur Susulan Harga Minyak Rendah
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Rabu, berikutan tekanan oleh penurunan harga minyak mentah penanda aras, ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pasaran niaga hadapan getah serantau yang lemah.
Ketika ini, harga minyak mentah penanda aras menyusut 1.86 peratus kepada US$89.70 satu tong.
Seorang peniaga berkata sentimen pasaran terus terjejas oleh ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat dan ancaman tarif AS yang diperbaharui.
“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai pengurangan pengeluaran getah asli di rantau pengeluar utama dan jualan kenderaan elektrik (EV) global yang berdaya tahan, yang memberikan sedikit sokongan kepada prospek permintaan,” katanya kepada Bernama.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat sebanyak 0.50 sen kepada 955.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 753.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA