BERITA TERKINI   Sasterawan Negara A. Samad Said meninggal dunia di HKL pada 6.10 petang tadi - Anak | Amaran hujan berterusan di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan hingga 27 Nov -MetMalaysia | 

Kerajaan Perkenal Sistem Penandaan Digital Rokok Mulai 1 Jan 2027, Ganti Setem Cukai Fizikal

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan sistem teknologi penandaan digital ke atas rokok bagi menggantikan penggunaan setem cukai fizikal berkuat kuasa 1 Jan, 2027, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong. 

Menurut beliau teknologi berkenaan mempunyai elemen jejak dan kesan yang berfungsi merekodkan maklumat penjejakan setem secara terperinci bermula daripada fasa penjanaan kod sehingga serahan kepada pengedar serta berintegrasi dengan maklumat permit import.

“Semua maklumat pengeluaran di peringkat pengilangan akan dimuat turun secara digital dan boleh membantu menentukan kesahihan sesuatu produk.

Ad Banner

“Kerajaan kekal komited untuk melindungi hasil negara serta memastikan integriti sistem kawalan duti eksais dan penguatkuasaan kastam tidak disalahgunakan oleh mana-mana rangkaian penyeludupan,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (WAWASAN-Tasek Gelugor) mengenai ancaman terhadap integriti fiskal dan penguatkuasaan di Malaysia susulan pembongkaran rangkaian rokok haram rentas sempadan di Filipina.

Pada 10 April 2026, pihak berkuasa Filipina menyerbu sebuah fasiliti pengilangan rokok di Lapu-Lapu City, Cebu yang dikendalikan Baisisen Global Corporation selain menemukan jutaan batang rokok, mesin pengeluaran serta setem cukai eksais Malaysia palsu.

Ad Banner
Ad Banner

Sebanyak 10.64 juta setem cukai Malaysia palsu ditemukan yang berpotensi digunakan bagi kira-kira 212.8 juta batang rokok dengan nilai duti eksais dianggarkan RM89 juta atau sehingga RM100 juta termasuk cukai import.

Liew memaklumkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memandang serius berhubung dakwaan pemalsuan setem cukai Malaysia susulan ia memberi implikasi terhadap integriti sistem kawalan duti eksais serta usaha membanteras penyeludupan rokok dalam negara.

“Keutamaan kerajaan bukan sahaja untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab tetapi juga untuk memperkukuh sistem kawalan sedia ada bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang dan melindungi hasil negara,” katanya. 

Beliau berkata berhubung kes serbuan pada 10 April 2026 oleh pihak berkuasa Filipina berkenaan pemalsuan sebanyak 10.64 juta setem cukai Malaysia, JKDM telah membuat pengesahan ketulenan setem cukai bagi rokok yang disita melalui vendor pembekal setem sah yang dilantik oleh kerajaan.

JKDM mendapati setem cukai berkenaan adalah tidak tulen atau palsu.

“Verifikasi ke atas setem cukai ini telah dibuat oleh pihak pakar JKDM iaitu Lembah Sari Sdn Bhd pada pada 10 April, 2026 menggunakan alat peranti SICPA-AIR (JKDM Enforce Mobile Application),” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata dakwaan kes tersebut turut mengaitkan penglibatan dengan dua entiti di Malaysia iaitu syarikat Gilion Tobacco Sdn Bhd dan Long One Trading Sdn Bhd.

Sementara itu, Wan Saifulruddin mempersoalkan tindakan penguatkuasaan terhadap Gilion Tobacco meskipun lesen import syarikat itu dilaporkan telah dibatalkan selain mencadangkan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) menetapkan kadar pengurangan tahunan tertentu setiap tahun. 

Liew meminta Wan Saifulruddin mengemukakan maklumat dan bukti berhubung dakwaan rokok yang diimport oleh Gilion Tobacco masih dijual secara bebas meskipun lesen import syarikat itu telah dibatalkan.

“Kalau ada bukti minta kongsikan. Saya akan minta JKDM untuk menjalankan tugas atau menjalankan tindakan supaya memastikan sesiapa yang masih menjual rokok di bawah syarikat Gilion Tobacco itu diambil tindakan,” katanya.

Mengenai cadangan MATF untuk mengadakan kadar pengurangan, Liew menyifatkannya sebagai cadangan baik dan berkata beliau akan membawanya ke kementerian untuk pertimbangan bagi menetapkan sasaran tahunan mengukur keberkesanan usaha membanteras penyeludupan,” jelasnya.

Liew memaklumkan lesen kepada Gilion Tobacco dikeluarkan atau didaftarkan pada 22 Dis, 2020 dan ditamatkan pada 22 Dis, 2024.

“Usaha kerajaan untuk mengurangkan pengimport agak ketara iaitu jumlah lesen dikeluarkan dikurangkan daripada 24 syarikat pada 2024 kepada 16 syarikat pada 2025 dan sekarang pada 2026 hanya ada sembilan syarikat yang diberi lesen untuk pengimportan,” katanya. 

-- BERNAMA