Anak Syarikat Malakoff Lancar Program Sukuk Hijau RM700 Juta
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, Sungai Udang WTE Sdn Bhd telah mengemukakan program sukuk wakalah Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Hijau (SRI) ASEAN bernilai RM700 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi membiayai pembangunan kemudahan sisa kepada tenaga (WTE) Melaka yang pertama.
Syarikat pengeluar tenaga itu melalui satu kenyataan berkata program sukuk 30 tahun itu akan membiayai pembangunan, reka bentuk dan pembinaan kemudahan WTE Sungai Udang, yang dijadualkan siap menjelang 2029.
“Kemudahan itu, yang dibangunkan di bawah perjanjian konsesi selama 34 tahun, akan mampu merawat sehingga 1,056 tan sisa pepejal perbandaran setiap hari sambil menjana 22.1 megawatt (MW) tenaga boleh baharu kasar.
"Projek itu dijangka mengalihkan lebih 300,000 tan sisa dari tapak pelupusan sampah dan mengelakkan kira-kira 75,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun," katanya.
Malakoff berkata kemudahan itu juga akan membantu mengurangkan tekanan ke atas tapak pelupusan sampah sedia ada Melaka, yang menghampiri kapasiti penuh.
Program sukuk, yang distrukturkan di bawah prinsip syariah wakalah bi al-istithmar, telah diberikan penarafan awal jangka panjang AA-IS oleh MARC Ratings Bhd.
RHB Investment Bank Bhd telah dilantik sebagai penasihat utama, penyusun utama dan pengurus utama untuk program sukuk.
-- BERNAMA