BERITA TERKINI   UEM Sunrise dan AME Elite Consortium bentuk usaha sama untuk bangun taman perindustrian bernilai RM4.0 bilion di Gerbang Nusajaya. | Liga Super: DPMM FC 3-1 Negeri Sembilan FC | Penjawat awam negeri Pulau Pinang akan terima BKK sebulan gaji, dibayar pada Disember ini - Ketua Menteri | Pulau Pinang bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM1.074 billion - Chow | Inisiatif Dana Inovasi Media diteruskan melalui pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0, pastikan industri media terus diperkasa - Fahmi | 

SSER, CEXIM Meterai Perjanjian Penyaluran Semula Pinjaman RM5 Bln Bagi NPWSS

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, dan Export-Import Bank of China (CEXIM) hari ini memeterai perjanjian penyaluran semula pinjaman bernilai RM5 bilion bagi membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS).

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pemeteraian perjanjian itu merupakan pencapaian penting Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memuktamadkan rundingan serta mendapatkan kembali sebahagian pinjaman berkenaan menerusi penyaluran semula RM5 bilion bagi pelaksanaan NPWSS.

Menurut MoF, langkah itu sekali gus mengurangkan kerugian yang timbul daripada projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), selain memastikan RM5 bilion berkenaan dapat digunakan untuk membangunkan infrastruktur asas yang memberi manfaat kepada penduduk, khususnya di Perak dan Pulau Pinang.

Ad Banner
Ad Banner

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ahli Lembaga Pengarah SSER Mohd Fariszan Ahmad dan Naib Presiden CEXIM Kang Wang.

NPWSS merupakan projek infrastruktur bekalan air bersepadu yang melibatkan penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kerja-kerja naik taraf di sepanjang Sungai Kurau dan Terusan Besar serta pembinaan loji rawatan air di Kamunting dan Bogak.

Menurut MoF, projek itu menyasarkan kapasiti bekalan air sebanyak 700 juta liter sehari bagi kawasan utara Perak, termasuk kawasan perindustrian Kerian, 300 juta liter sehari bagi Pulau Pinang serta 500 juta liter sehari air mentah untuk pengairan pertanian. Kerja-kerja pembinaan projek itu akan dilaksanakan oleh syarikat kontraktor tempatan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Pelaksanaan NPWSS dijangka memperkukuh keterjaminan air jangka panjang, memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian serta menyokong pembangunan sosioekonomi," menurut kementerian itu.

-- BERNAMA