Shell Selesai Pindahkan Perniagaan Stesen Petrol Indonesia Ke Sefas Group
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 30 Okt (Bernama) -- Shell Indonesia telah menyelesaikan pemindahan perniagaan stesen minyaknya kepada syarikat Indonesia, SEFAS Group, meliputi kira-kira 200 cawangan di seluruh negara, sambil mengekalkan jenama Shell di bawah perjanjian pelesenan.
Pengurusan Shell berkata perniagaan itu kini akan beroperasi melalui PT Isla Energy Indonesia, yang dimiliki oleh SEFAS Group, dengan lebih 160 daripada kira-kira 200 stesen minyak adalah milik syarikat.
Pemindahan itu juga meliputi operasi bekalan dan pengedaran bahan api yang berkaitan, serta terminal bahan api di Gresik, Jawa Timur.
“Di bawah perjanjian pelesenan jenama, jenama Shell akan terus digunakan di seluruh rangkaian stesen minyak PT Isla Energy Indonesia, dan pelanggan akan terus mendapat akses kepada produk bahan api Shell,” kata syarikat itu, menurut agensi berita negara Antara hari ini.
Shell berkata pemindahan pemilikan itu tidak melibatkan perniagaan pelincirnya di Indonesia.
Pada Ogos, SEFAS Group mengumumkan perjanjian untuk mengambil alih 100 peratus perniagaan stesen minyak Shell di Indonesia, dengan penyiapan tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan syarat lazim yang lain.
Perjanjian itu menyusuli pengumuman Shell pada Mei 2025 mengenai rancangan untuk memindahkan perniagaan itu kepada usaha sama yang melibatkan Citadel Pacific dan SEFAS Group, sebagai sebahagian daripada perubahan kepada pemilikan operasi runcitnya di Indonesia.
-- BERNAMA